Kegigihan seorang warga emas meniaga di sebuah pasar malam di ibu negara sambil menjaga isterinya meskipun dirinya turut mengalami pelbagai masalah kesihatan telah berjaya menyentuh hati orang ramai, baru-baru ini.
Difahamkan, isteri kepada peniaga itu sudah tidak boleh berjalan kerana anggota kakinya telah dipotong selepas menghidap penyakit kencing manis selain turut diuji dengan masalah pertuturan.
Peniaga warga emas itu juga menghidap kencing manis dan memiliki masalah kesihatan lain termasuklah darah tinggi dan buah pinggang tahap lima namun belum lagi memulakan rawatan dialisis kerana memikirkan isterinya.
Hal ini kerana peniaga bergelar pak cik berkenaan enggan menjalani pembedahan tapak dialisis yang mungkin akan menyukarkan pergerakannya untuk mengangkat isterinya pulang ke kediaman mereka terletak di tingkat empat.
Situasi pasangan suami isteri yang cukup memilukan itu didedahkan menerusi satu perkongsian di platform TikTok oleh pemilik akaun @storie.my yang menemu bual peniaga air balang itu di pasar malam tersebut.
“Sudah tentu saya jaga isteri. Saya menyayangi dia. Anak kami tolong, saya sudah tak kuat. Isteri saya sihat sahaja pada awalnya. Tiba-tiba tak boleh bercakap, berjalan dan makan. Kalau nak makan, kena pakai tiub.
“Walaupun isteri sakit, saya tak akan meninggalkan dia. Dahulu dia sihat, saya sayang. Sekarang dia sakit, saya lagi sayang. Doktor sudah arah buat dialisis, tetapi saya tak nak. Sebab kalau buat tapak dialisis, susah nak jaga isteri.
“Kami tinggal di tingkat empat, rumah tiada lif. Jadi saya yang dukung isteri naik dan turun rumah. Saya berdoa kepada Tuhan setiap hari agar isteri sembuh. Tak boleh jalan tidak mengapa. Janji boleh cakap dan buka mata semula,” kongsinya.
Dalam perkongsian yang sama, warga emas itu sempat menitipkan pesanan khususnya untuk para suami supaya menunaikan tanggungjawab dan tetap menyayangi isteri mereka tanpa melihat keadaan fizikalnya.
Sementara itu, anak kepada pasangan berkenaan yang berusia 21 tahun kini bekerja secara sambilan dan terpaksa menyimpan hasratnya untuk sambung belajar buat sementara waktu kerana perlu menjaga ibu bapanya.
“Saya lebih rela menjaga mereka. Tetapi kalau boleh saya nak menyambung pelajaran ke peringkat diploma kerana bercita-cita untuk menjadi guru. Memandangkan ibu bapa saya sakit, saya terpaksa jaga mereka dahulu.
“Detik yang paling saya rindukan ialah apabila keluarga kami berkumpul untuk makan bersama-sama, macam orang lain. Tetapi saya tak pernah tunjuk sedih atau lemah kepada mereka.
“Saya nak cakap dekat Ayah dan Ibu, semoga cepat sihat. Saya harap mereka sentiasa bahagia,” kata gadis terbabit mengakhiri rakaman berdurasi satu minit 57 saat yang cukup menyayat hati itu.
Rakaman tersebut berjaya memperoleh 4 juta tontonan dan 506,400 tanda suka daripada pengguna TikTok selain turut meraih perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berjanji akan menghulurkan bantuan.
Baca juga: Elak tertipu! Bantuan SARA RM100 tidak boleh dikeluarkan melalui MyKad