Individu yang meninggalkan komen berhubung dakwaan bahawa jasad arwah Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh mengakui perkara itu hanya sekadar andaian sendiri.
Pengakuan mengenai komen yang dimuat naik menerusi akaun Facebook itu dibuat selepas aktivis sosial dikenali sebagai Mona Din menghubungi individu terbabit untuk meminta penjelasan berhubung dakwaan berkenaan.
Menurut Mona, penulis komen itu juga meminta untuk mewakilinya memohon maaf terutama kepada keluarga Zara dan seluruh rakyat Malaysia atas hantarannya yang telah menimbulkan kekecohan di media sosial.
“Penjelasan dari saya berhubung komen oleh pengguna media sosial yang mendakwa bahawa mayat arwah telah dimasukkan ke dalam mesin basuh. Saya telah berjaya menghubungi individu yang meninggalkan komen itu.
“Beliau telah mengaku kepada saya yang komen tersebut adalah ANDAIAN sahaja. Saya sudah memarahinya kaw-kaw! Jadi pada pendapat saya, cerita mesin basuh yang merujuk kepada komen itu ADALAH TIDAK BENAR,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, Mona turut memberikan penjelasan mengenai isu seorang wanita membuat siaran langsung di platform TikTok yang didapati turut membawa narasi serupa untuk mengulas kes arwah Zara.
Mona menegaskan bahawa wanita terbabit tidak memiliki hubungan kekeluargaan dengan Allahyarhamah malah ibu kepada mangsa iaitu Noraidah Lamat juga mengakui langsung tidak mengenalinya.
“Ibu Zara tidak kenal pun dengan orang ini! Peguam Zara akan keluarkan kenyataan secepat mungkin. Kita tunggu. Jadi pada pendapat saya, ‘content’ video perempuan ini yang mengaitkan dengan keluarga Zara ADALAH TIDAK BENAR.
“Itu adalah penjelasan saya tentang dua perkara ini. Saya MENOLAK SEMUA SPEKULASI TIDAK BENAR YANG MENGGANGGU SIASATAN!.” Kesal Mona dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.
Sementara itu, peguam yang mewakili Noraidah Lamat iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri turut mengesahkan bahawa dakwaan sedemikian hanyalah sekadar spekulasi semata-mata.
Jelasnya, Noraidah selaku ibu kepada Zara tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa dan meminta agar wanita berkenaan menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis untuk tujuan siasatan.
Pihaknya juga meminta agar semua spekulasi termasuk gambar kronologi yang menggambarkan Zara kononnya hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 pada jam 8 pagi pada 16 Julai lalu berhenti disebarkan dengan segera.
Peguam terbabit turut memberi peringatan berhubung penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media sosial yang mana perkongsian kenyataan negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, dan seksyen 211 dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penyebaran senarai nama pelajar-pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 dan seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sekadar info, Allahyarhamah Zara Qairina adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah yang dilaporkan meninggal dunia selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Mangsa yang berusia 13 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pada pukul 3 pagi dan didapati mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan.
Baca juga: Madani disifatkan ‘zalim’, tapi kembalikan hak sekolah agama – Anwar