Luahan seorang peniaga nasi lemak yang kesal terhadap sikap seorang pelanggan yang dikatakan naik angin kerana harga nasi lemak dan lauk asas dikira “asing-asing”, bertukar menjadi bahan kecaman netizen.
Perkongsian peniaga itu yang dimuat naik ke laman Facebook Makan Sedap Johor pada awalnya bertujuan mempertahankan dirinya selepas dimarahi seorang pelanggan yang mempertikaikan harga nasi lemak yang dikira “asing-asing” – nasi lain, bilis lain, telur pun lain.
Namun, hantaran itu ternyata ‘makan tuan’ apabila ramai pengguna media sosial menyifatkan cara jualan nasi lemak secara asing-asing sebagai tidak logik dan mengelirukan pembeli.
“Kepada budak jantan yang mai beli nasi lemak tadi dekat kawasan Balik Pulau, tolong naa. Jaga bahasa kalau nak marah orang. Tanya dulu harga nasi sekian-sekian.
“Bukan dah buh segala mak nenek nak bayaq hang dok pura-pura terkejut kata bilis kira asing ka teloq kira asing ka. Kami memang kira asing-asing.
“Orang nak bilis dengan teloq baru kami buh (letak). Kalau orang tak mahu kami tak buh..,” katanya.
Ujarnya, sejak berniaga, belum pernah ada pelanggan yang merungut tentang sistem harga mereka.
“Aku rasa dekat aku yang paling murah tahu tak dekat tempat lain. Tak dapat harga macam ini. Semua pelanggan aku kata kami juai murah..
“Buh lauk tak ingat dunia sekali nak bayaq dok maki orang pula. Macam tu ka orang Melayu,” ujarnya lagi.
Bagaimanapun, netizen berpendapat bahawa cara tersebut menyusahkan pelanggan dan tidak menepati kebiasaan jual beli nasi lemak.
Ramai juga yang mengecam tindakan peniaga berkenaan kerana dianggap mengambil kesempatan dengan membuat kira asing-asing.
Baca juga: ‘Dah dapat baju percuma, masih minta kurang RM5’ – Peniaga luah rasa kecewa