Pastinya kita semua pernah merasa, ada hari teringin sangat nak makan sesuatu, tapi duit di tangan tak seberapa.
Lagi-lagi bagi budak sekolah, nak beli makanan kegemaran pun kadang-kadang kena kira berkali-kali.
Dengan kos hidup sekarang, nilai RM1 hampir tak berharga lagi. Paling kuat pun hanya mampu dapatkan snek kecil atau gula-gula di kedai runcit.
Baru-baru ini, tular di media sosial kisah menyentuh hati melibatkan seorang peniaga tauhu bergedel, @shaunytauhugendut.co.
“Hari ini saya agak tersentuh, sebab saya pernah rasa apa yang adik ini rasa ‘teringin, tapi duit belanja tinggal yang mana ada sahaja. Kadang-kadang sudah habis sebab terlebih berbelanja.’
“Semoga dengan satu pemberian kecil ini, akan datang rezeki yang lebih berlipat ganda pada masa akan datang. Amin,” kongsinya di ruangan kapsyen.
Dalam video itu, pelajar berkenaan dilihat beranikan diri bertanya harganya dan peniaga tersebut memaklumkan bahawa sebiji tauhu bergedel dijual pada harga RM2.
Namun, yang benar-benar menyentuh hati ialah apabila pelajar itu hanya mampu mengeluarkan sekeping not RM1 dari poket bajunya.
Bayangkan, dengan wajah penuh harapan, dia cuba membeli walaupun duitnya tidak cukup. Lebih memilukan, kejadian itu berlaku ketika cuaca hujan.
Tanpa berfikir panjang, wanita peniaga itu segera mengambil sekeping tisu, meletakkan sebiji tauhu bergedel, lalu menghulurkan kepada pelajar tersebut tanpa meminta sebarang bayaran.
Baca juga: Diva AA dedah mesej dengan PA Aliff Syukri, video pijak beg tangan rupanya dirancang?