Satu hantaran di laman Facebook Ehailing.fm yang bertanya mengenai pendapatan bersih pemandu e-hailing dalam tempoh sebulan mencetuskan pelbagai reaksi daripada warga maya.
Seorang pengguna, Jiwa Al Fateh, berkata sekitar tahun 2018 hingga 2019, dia mampu memperoleh antara RM1,000 hingga RM1,500 dalam tempoh tiga hari pada hujung minggu panjang. Malah, jumlah itu boleh mencecah RM2,000 jika bercuti sekolah.
Namun, situasi kini jauh berbeza. Awang Ayulara mendakwa pemandu banyak menanggung kerugian kerana terpaksa membayar kos insurans dan pemeriksaan Puspakom yang mahal, sedangkan tambang semakin murah.
“Kebanyakan kerugian… Pelanggan diutamakan tapi pemandu rugi,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Wak D Saddam, menganggarkan pendapatan pemandu hanya setara dengan RM8 sejam selepas ditolak kos penyelenggaraan kereta.
Sementara itu, Nini Med berkongsi pengalaman peribadi dengan menyatakan hasil bersih yang dibawa pulang hanya cukup-cukup untuk membeli barang dapur asas.
“Dapatlah bawa balik RM30. Tu pun nak buat rolling modal esok. Bersih lah. Yang betul-betul boleh bawa balik dapat la beli kangkung seikat untuk family,” katanya berseloroh.
Ada juga yang menyifatkan kerja sebagai pemandu e-hailing seakan-akan “kerja amal”, apabila pendapatan dikatakan tidak sepadan dengan masa dan tenaga yang dicurahkan.
Hariz Adam menulis: “Rugi bos. Mungkin boleh claim di akhirat sebab hari-hari kerja amal sedekah.”
Bagaimanapun, ada juga yang mendakwa masih mampu menjana pendapatan lumayan. Hamid Hasan, contohnya, menyebut ada pemandu yang mendakwa boleh meraih sehingga RM10,000 sebulan, namun perkara itu menimbulkan keraguan dalam kalangan warganet lain.