Demi filem baru Que Haidar ‘sado’ dalam masa 2 bulan, sekali projek batal – “Badan ini nak buat apa?”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon dan pengarah, Que Haidar kembali mencuri perhatian ramai baru-baru selepas memuat naik gambar memaparkan dirinya berswafoto di hadapan cermin di akaun Instagram miliknya.

Mana tidaknya menerusi hantaran dikongsikan di akaun TikTok miliknya, Que yang tampil tanpa mengenakan baju itu menunjukkan perubahan agak drastik pada tubuh badannya berikutan tampak lebih tegap dan berotot.

Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar bagaimanapun hanya menulis kapsyen ringkas iaitu ‘Hidup ini terlalu singkat’ menerusi perkongsian yang berjaya meraih lebih daripada setengah juta tontonan itu.

Perkongsian tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sekiranya perubahan itu dilakukan oleh bapa kepada dua cahaya mata berkenaan demi projek filem terbaharu atau sebaliknya.

Selebriti itu kemudian memberi maklum balas di ruangan komen dengan mengatakan bahawa badannya memang ‘dibina’ untuk menjayakan watak di dalam filem baharu namun sayangnya projek tersebut dibatalkan.

“Sudah bersiap sedia untuk filem baharu. Tetapi filem itu dibatalkan. Jadi badan ini nak buat apa?,” kata Que ketika membalas komen salah seorang pengguna TikTok mengenai perubahan bentuk badannya.

Bukan sahaja rajin membalas komen peminat, pelakon berusia 46 tahun itu juga langsung tidak lokek berkongsi jadual senaman serta pemakanan yang diamalkannya sehingga berjaya membina badan dalam masa dua bulan.

Selain bersenam sekurang-kurangnya dua jam sehari, Que juga mula mengamalkan pemakanan sihat terutamanya minuman atau hidangan yang tidak mengandungi gula, garam atau minyak.

“Dalam seminggu, hanya satu hari cuti (bersenam). Sehari sekurang-kurangnya dua jam. Kalau ada masa, buat dua jam pagi dan dua jam malam. Amalkan diet yang sihat. Tiada gula, garam dan minyak.

“Saya ambil karbohidrat dalam bentuk spaghetti kosong. Protein dari putih telur rebus, ayam, daging, ikan. Protein juga ada ambil dalam bentuk ‘supplement’ (pemakanan tambahan). Memang padu.” Kongsinya.

Antara komen lain yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok dalam perkongsian itu.

Baca juga: Nora Danish nafi akan menikah esok, jelas perkara sebenar di sebalik kad kahwin tular