Semakin banyak kes melibatkan orang dewasa mengambil kesempatan ke atas mereka yang berada di bawah umur.
Terbaharu seorang fasilitator lelaki ditahan polis malam tadi selepas disyaki mencabul empat murid lelaki berusia 12 tahun dari sebuah sekolah kebangsaan di daerah Kerian, Perak.
Menurut Kosmo! Online, kejadian dikatakan berlaku ketika kesemua mangsa menyertai satu program di sebuah kem motivasi di Kampung Genting, Balik Pulau.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa program pada 12 Oktober lalu.
Tegasnya, suspek berusia 33 tahun yang juga fasilitator jemputan dikatakan bertindak mencabul mangsa di dalam asrama penginapan kem berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa peserta kem sedang tidur pada tengah malam di dalam dorm yang menempatkan murid lelaki.
“Suspek dikatakan telah menyentuh keempat-empat mangsa tanpa kerelaan mereka,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Jelasnya mangsa hanya menceritakan kejadian tersebut kepada guru besar selepas pulang dari kem berkenaan dan kemudian laporan polis dibuat guru besar di Balai Polis Bagan Serai, Perak.
“Bertindak atas laporan, polis menahan suspek di rumahnya di Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 9 malam semalam,” jelasnya.
Suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu direman selama tujuh hari hingga 21 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Baca juga: Lagi kes rogol berkumpulan dan sebar video lucah, 4 remaja ditahan termasuk 3 pelajar