Pihak polis menahan empat remaja termasuk tiga pelajar di sebuah sekolah di daerah Baling kerana disyaki terbabit dalam kes rogol secara berkumpulan dan menyebarkan bahan lucah di media sosial.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pengadu berusia 53 tahun pada Ahad lalu kira-kira pada jam 11 pagi.
Laporan tersebut dilakukan selepas pengadu menerima makluman daripada guru disiplin berhubung penularan rakaman video yang memaparkan anaknya berada dalam keadaan berbogel.
Bertindak atas laporan, pihak polis menahan tiga pelajar dan seorang lagi bekas pelajar di sekolah sama pada jam 9.30 malam hari yang sama untuk membantu siasatan, lapor Berita Harian.
“Hasil siasatan lanjut mendapati, empat suspek terbabit didapati melakukan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi dalam kelas sekolah berkenaan.
“Berikutan itu, semua suspek ditahan dan direman lima hari mulai tarikh mereka ditangkap dan merampas enam telefon bimbit untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ahmad Salimi memaklumkan bahawa kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan dan menghantar pornografi kanak-kanak.
Tegasnya, pihak polis memandang serius kejadian ini dan meminta orang ramai terutamanya ibu bapa dan penjaga untuk memantau kegiatan dan pergerakan anak-anak mereka khususnya dalam kalangan remaja.
Baca juga: Mak ‘tutup mata’ biarkan anak perempuan tidur berdua dengan tunang dalam bilik