Lagi kes buli, pelajar 13 tahun didakwa diikat, mata ditutup, mulut disumbat makanan

Oleh KIM SYAZIE

Luluh hati seorang ibu apabila anak perempuannya berusia 13 tahun dipercayai menjadi mangsa buli di salah sebuah institusi pendidikan agama di ibu negara.

Ibu mangsa, Hidayah, 30, berkata, anak sulungnya, Aisyah sering mengadu menjadi mangsa buli pelajar lain di sekolah malah pernah dipatahkan cermin mata oleh murid 10 tahun.

Malah dia tidak menyangka, dalam tempoh baru sebulan persekolahan, anaknya sudah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya tak pasti sejauh mana dia dibuli sebab sampai sekarang tiada (suspek) yang mengaku,” katanya ketika memetik Kosmo! semalam.

Menurut laporan portal tersebut, dua hari sebelum pelajar perempuan Tingkatan 1 itu dimasukkan ke HKL, dia dipercayai dibuli dengan cara tangan diikat, mata ditutup dan mulut disumbat makanan.

Lebih mengejutkan terdapat contengan pada tangan gadis itu yang tertulis “pergi mampus”.

“Tangan Aisyah diikat, matanya ditutup dengan kain, mulut disumbat makanan dan pernah juga punggungnya diseluk oleh pelajar lain. 

“Satu lagi, ketika sedang dalam rawatan di HKL, pihak hospital menunjukkan kepada saya terdapat tulisan ‘gi (pergi) mampus’ di tangan Aisyah yang ditulis menggunakan pen marker berwarna biru,” kata ibu mangsa seperti dilapor.

Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 9 Oktober lalu selepas diminta oleh pihak hospital bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk pemeriksaan pakar wanita terhadap anaknya.

Baca juga: Takut akaun ‘kering’, Johan tak bagi Ozlynn belajar guna transfer dan QR