Pihak polis menahan seorang siak masjid kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin memaklumkan bahawa tangkapan dibuat malam kelmarin selepas pihaknya menerima laporan daripada remaja terbabit pada jam 3.41 petang.
Difahamkan, remaja terbabit terpaksa menempuh detik hitam dan menjadi mangsa gangguan seksual siak itu ketika menumpang keretanya untuk ke masjid pada Rabu lalu, lapor Berita Harian.
Siasatan pihak polis mendapati suspek yang bekerja di sebuah masjid di Bukit Sentosa itu memegang kemaluan mangsa semasa menaiki keretanya selain menghantar mesej berbaur lucah ke telefon bimbit remaja terbabit.
Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor kemudian bertindak atas maklumat dan menahan suspek pada jam 12.30 tengah malam kelmarin di rumahnya di Bukit Sentosa, Rawang.
“Siasatan mendapati remaja itu menaiki kereta lelaki warga tempatan berusia 44 tahun dari stesen bas Bukit Sentosa ke sebuah masjid untuk bertemu rakannya. Remaja itu mengenali suspek ketika menumpang di masjid terbabit sejak Disember tahun lalu.
“Semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Dia direman tujuh hari hingga Rabu depan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Baca juga: Lagi kes buli, pelajar 13 tahun didakwa diikat, mata ditutup, mulut disumbat makanan