Warga pendidik kata Fadhlina mungkin tak sempurna tapi menteri pendidikan paling bagus berbanding sebelum ini

Oleh KIM SYAZIE

Beberapa warga pendidik tampil mempertahankan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, susulan perdebatan dalam media sosial yang mempertikaikan keberkesanan beliau menerajui kementerian itu.

Ia selepas seorang pengguna media sosial bertanya di platform Thread, benarkah Fadhlina adalah menteri yang paling tidak berfungsi di mata guru-guru.

Namun, pertanyaan itu segera menerima respons balas daripada guru yang memberi ulasan jujur mengenai prestasi Fadhlina.

Seorang pengguna, @shvhrolfvhmie_sfs, yang juga guru sejak 2016, mengakui Fadhlina sebagai “menteri terbaik setakat ini” dengan pelbagai transformasi positif seperti penyederhanaan pelan pengajaran (LP), kebebasan dalam perancangan PdP, serta peningkatan capaian internet di sekolah.

“Not fanning but she is a great minister so far (saya bukan nak mengampu atau jadi peminat Fadhlina, tapi setakat ni dia memang menteri yang bagus).

“A lot of transformations have been made like simplified LP, toilet renovations, continuation of high-speed WiFi, and no more overnight decisions,” tulisnya.

Guru lain, @albaidhawi96, pula berkata, banyak perubahan positif berlaku sejak Fadhlina memegang portfolio tersebut.

“Saya seorag guru zaman Madani. YB Fadhlina jadi menteri ni lah paling seronok.

“RPH siap awal sebab tak perlu tulis panjang-panjang, tuntutan perjalanan dan kursus pun cepat diproses, tak sampai 24 jam duit masuk bank,” katanya.

Dia turut menyatakan kemudahan sekolah seperti meja, kerusi, komputer dan mesin pencetak kini lebih mudah diperoleh, malah kerja membaik pulih rumah guru juga semakin rancak.

“Dia tidaklah sempurna, tapi jauh lebih baik daripada sebelum ini sejak 2018. Netizen terlalu dangkal mempercayai fitnah dan menghina beliau,” katanya lagi.

Seorang lagi pengguna menulis bahawa perbincangan di media sosial ini membuka mata ramai pihak terhadap perubahan sebenar di lapangan.

“Tanpa medium ini, saya tidak tahu betapa besar beban guru yang telah dikurangkan. Ramai hanya dengar daripada bekas guru yang juga influencer, hingga timbul desakan agar Fadhlina berundur,” tulisnya.

Baca juga: Pengasas produk labur RM2 juta ke madrasah di Kelantan, polis khuatir jadi lokasi ubah wang haram