Dua anggota polis hadapi tuduhan terima suapan RM2,000 lepaskan pasangan buat maksiat

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada segelintir anggota polis menerima suapan bagi ‘menutup mata’ dalam beberapa kes dan terbaharu adalah berkaitan dengan tangkap khalwat berlaku pada Jun lalu.

Ini sekaligus menimbulkan keraguan terhadap integriti penguatkuasaan undang-undang dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap sistem keadilan.

Menurut Kosmo! Online, dua anggota Unit Cegah Jenayah didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000.

Anggota tersebut didakwa menerima suapan sebagai balasan melepaskan sepasang kekasih yang dicekup berdua-duaan di dalam sebuah kereta, Jun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zulhelmi Zaini, yang berpangkat koperal dan Mohamad Arif Roslan, berpangkat konstable bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan terhadap Mohd. Zulhelmi, dia didakwa telah melakukan rasuah dengan meminta suapan berupa wang tunai berjumlah RM4,000 daripada pasangan yang berusia 22 dan 20 tahun.

Suapan itu diminta sebagai dorongan agar tertuduh, yang bertugas di Unit Cegah Jenayah Balai Polis Bukit Baru, Melaka, tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap pasangan tersebut.

Manakala dalam pertuduhan berasingan kedua-dua tertuduh didakwa telah menerima suapan masing-masing berjumlah RM2,000 daripada mangsa sama bagi tujuan sama.

Perbuatan itu kedua-duanya dilakukan antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi di Balai Polis Bukit Baru, Jalan Penghulu Abbas dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kedua-dua anggota polis terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Mereka juga berdepan dengan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan yang terlibat dalam kesalahan tersebut, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau denda sebanyak RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Baca juga: Isteri baru hilang bapa terkejut, jumpa mesej mesra suami dengan rakan sendiri – “Air mata dah tak keluar”