Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan aktiviti-aktiviti berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan penutupan jalan secara berperingkat serta pelaksanaan lencongan trafik ke dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) bermula 26 hingga 28 Oktober 2025.
Latihan percubaan bagi penutupan dan lencongan trafik tersebut dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2025 bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya sepanjang tempoh sidang kemuncak itu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, AirAsia menasihatkan para tetamu yang akan melakukan perjalanan ke dan dari KLIA2 dalam tempoh berkenaan supaya merancang perjalanan lebih awal.
Penumpang juga boleh mempertimbangkan penggunaan perkhidmatan pengangkutan alternatif seperti Express Rail Link (KLIA Ekspres atau KLIA Transit) bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Para penumpang juga disarankan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam sebelum penerbangan domestik dan tiga jam sebelum penerbangan antarabangsa, bagi mengelakkan kelewatan akibat penutupan jalan dan sekatan lalu lintas.
Antara laluan utama yang dijangka terjejas ialah Lebuhraya KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya MEX, dan Lebuhraya KL–Seremban.
Ini antara laluan yang terlibat dalam penutupan sementara serta lencongan bagi memberi laluan kepada pergerakan kenderaan rasmi sepanjang tempoh tersebut.
Menurut AirAsia, kaunter daftar masuk di KLIA T2 akan ditutup satu jam sebelum waktu berlepas.
Justeru, para tetamu digalakkan untuk melengkapkan daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE, yang boleh dilakukan antara 14 hari hingga satu jam sebelum penerbangan.
Penumpang juga boleh menggunakan pas masuk elektronik (e-boarding pass) yang diterima di semua lapangan terbang di Malaysia dan banyak destinasi antarabangsa dalam rangkaian AirAsia.
Baca juga: Fikirlah nak keluar kenyataan pun, anggota APMM kecewa tuduhan pembangkang