Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang wanita yang meluahkan kekesalannya di platform media sosial apabila jumlah sebenar gaji bulanan diperolehinya telah didedahkan kepada mentua.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, wanita itu memaklumkan bahawa mentuanya mendakwa amaun tersebut kononnya diberitahu oleh pegawai yang bertugas di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Wanita itu kemudian tampil bertanya kepada pengguna media sosial yang arif mengenai perkara tersebut sama ada pegawai dari agensi berkenaan boleh mendedahkan maklumat gaji kepada orang luar.
Berpendapat bahawa mentuanya tidak mempunyai hak untuk mengambil tahu mengenai gajinya, wanita itu turut mempersoalkan tindakan yang boleh diambil sekiranya kejadian tersebut benar-benar berlaku.
“Salam, nak tanya kepada yang arif (tentang isu ini). Boleh ke pegawai LHDN mendedahkan maklumat gaji kepada orang luar? Saya tak puas hati apabila mentua cakap dia pergi sebuah cawangan LHDN di Kuala Lumpur.
“Pegawai dekat situ tolong periksa dan beritahu gaji saya, amaunnya sekian-sekian kepada mentua. Apa tindakan yang boleh diambil terhadap pegawai itu? Mentua tak berhak periksa gaji saya,” kesalnya dalam hantaran itu.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu menjelaskan bahawa tujuan mentuanya hadir ke pejabat LHDN adalah untuk memeriksa kelayakan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menantunya.
Hal ini kerana sang mentua dikatakan sering memaksa anak dan menantunya memohon STR sedangkan wanita terbabit sudah menjelaskan bahawa pendapatan isi rumah tidak melayakkan mereka menerima bantuan itu.
“Saya sudah cakap, gaji kami tak layak. Cumanya saya tak pernah dedahkan gaji kepada sesiapa walaupun ibu bapa sendiri. Amaun yang mentua sebut memang tepat. Sebab itu saya tak puas hati,” jelasnya lagi.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memberikan cadangan agar wanita terbabit membuat laporan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sekiranya benar kejadian berlaku.
Namun sebelum laporan dibuat, wanita terbabit perlu memastikan terlebih dahulu sama ada benar pegawai LHDN yang mendedahkan gajinya kerana dikhuatiri mentuanya diberitahu oleh orang lain seperti suaminya.

Baca juga: 11 stesen minyak Kelantan dekat sempadan ‘kantoi’ jual petrol subsidi berulang