Ramai pengusaha produk makanan tempatan berdepan kesukaran untuk menembusi pasaran luar negara disebabkan pelbagai cabaran seperti piawaian keselamatan makanan yang ketat.
Malah kos penghantaran yang tinggi serta kekangan pensijilan antarabangsa seperti HACCP atau Halal luar negara juga antara faktor produk tempatan sukar ke luar negara.
Pengasas produk NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, Tengku Norhanim Tengku Othman berkongsi dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan modal RM300.
Kini usahawan berusia 35 tahun itu sudah memasarkan jenama snek berasaskan coklat dan bijirin ke lebih 20 negara dengan dorongan suami, Faiz Hussamuddin lapor Bernama.
“Produk dihasilkan mendapat permintaan tinggi pelanggan dari Thailand.
“Namun pada penghujung 2014 saya kerugian antara RM20,000 hingga RM30,000 apabila semua barangan jualan ditenggelami air semasa banjir besar Kelantan,” katanya seperti dipetik Bernama.
Tidak patah semangat, usahawan itu mula bangkit dan mengembangkan perniagaan hingga jualan melonjak malah pernah mencecah RM500,000 sebulan pada taun 2018.
“Sewaktu pandemik COVID-19, produk ini mencatat permintaan luar biasa sehingga berjaya membina rangkaian lebih 30,000 ejen di seluruh negara.
“2022 menjadi titik perubahan apabila produk saya menembusi beberapa pasar raya besar di Malaysia dan pasaran eksport lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Thailand, Singapura dan Filipina.
“Kunci kejayaan saya ialah jangan pernah berhenti mencuba. Kalau jatuh, bangun balik kerana matlamat saya ingin menjadikan produk snek halal bertaraf antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke pasaran global,” katanya.
Baca juga: Rantai emas RM10,000 direntap ketika tidur di ruang tamu, wanita berusia 50 tahun cedera