Seorang pengumpul kad Pokémon dari Shah Alam tidak dapat membendung kegembiraan apabila semua koleksi peribadi yang dikumpulnya selama ini akhirnya berjaya dijual dengan harga RM1.87 juta.
Khabar gembira itu disampaikan sendiri oleh pengumpul kad Pokemon dikenali sebagai Damiral Imran menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya pada awal pagi tadi.
Dalam perkongsian yang berjaya mengundang perhatian orang ramai termasuk dari masyarakat antarabangsa itu, Damiral menyifatkan pencapaiannya sebagai satu sejarah tercipta di dunia Pokemon.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga menganggap perjuangannya selama ini tidak sia-sia apabila semua koleksi yang dikumpulnya berjaya dijual menghampiri harga pasaran semasa iaitu RM2,025,000.
“Koleksi kad Pokémon saya secara rasminya TERJUAL dengan harga RM1,870,000. Daripada sebuah bilik kecil di Shah Alam sehingga berjaya mencipta sejarah di Dunia Pokémon.
“Ini lebih daripada sekadar jualan. Ini adalah kisah tentang minat, kegigihan dan legasi. Dari sekadar minat kepada mencipta legasi, kejayaan ini menandakan salah satu detik penting dalam perjalanan hidup saya.
“Setiap kad, kotak dan dalam malam-malam tanpa tidur itu semuanya berbaloi. Ini bukanlah pengakhiran. Tetapi ia hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lebih hebat. TERIMA KASIH ATAS SEMUANYA,” katanya dalam perkongsian itu.
Beberapa keping gambar yang memaparkan koleksi kad milik Damiral turut dikongsikan dalam hantaran tersebut di mana kotak bungkusan barangan eksklusif itu disusun rapi sehingga mencecah dinding syiling rumahnya.
Damiral sebelum ini mendedahkan bahawa perbelanjaan yang dikeluarkannya untuk membeli kesemua koleksi kad Pokemon daripada pelbagai edisi tersebut adalah sebanyak RM1.62 juta.
Terdahulu, pemuda itu mula meraih tumpuan dengan tawaran menarik sewaktu mempromosi jualan koleksi kad Pokemon miliknya termasuk membenarkan tukar beli membabitkan kereta mewah iaitu Porsche 911 Carrera 4S.
Damiral juga berjanji memberi komisen sebanyak RM50,000 kepada mana-mana individu berjaya menemui pembeli yang sanggup membayar RM1.87 juta atau menandingi tawaran harga tertinggi ketika itu iaitu RM1,680,000.
Baca juga: Fakta menarik kereta kebal kalis peluru Trump yang dinaiki PMX