Malu ada stiker ‘keluarga miskin’, penerima bantuan tarik diri dari program

Oleh MAISARAH AISYA

Masih terdapat segelintir individu yang tidak menghargai bantuan yang diberikan, malah sanggup menolak atau menarik diri semata-mata kerana berasa malu dilabel sebagai ‘keluarga miskin’.

Kejadian yang berlaku di Indonesia itu menjadi topik bualan rakyat di negara seberang lapor portal berita Okezone News.

Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Saifullah Yusuf, tampil memberi respons terhadap tindakan beberapa Keluarga Penerima Manfaat (KPM).

Ini adalah susulan beberapa individu yang memilih menarik diri daripada senarai penerima bantuan selepas rumah mereka ditampal dengan pelekat ‘keluarga miskin’.

Menurut Saifullah, atau lebih dikenali sebagai Gus Ipul, penampalan pelekat itu merupakan inisiatif kerajaan daerah, bukan arahan langsung daripada Kementerian Hal Ehwal Sosial.

“Berkenaan ada beberapa penerima bantuan yang menarik selepas ditampal stiker ‘Keluarga miskin’, itu adalah inisiatif daerah,” katanya seperti dipetik Okezone News.

Beliau menjelaskan bahawa bantuan yang ditolak atau tidak diambil oleh penerima akan segera dipindahkan kepada keluarga lain yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut kriteria ditetapkan.

“Kami akan berikan bantuan tersebut kepada mereka yang memenuhi kriteria,” ujar Gus Ipul.

Dalam masa sama, pasukan pemantau bersama kerajaan tempatan telah turun padang bagi menjalankan semakan menyeluruh.

“Setakat hari ini, terdapat lebih dua juta keluarga yang tidak memenuhi syarat kelayakan untuk menerima bantuan sosial,” kongsinya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan-kerajaan negeri dalam mengemas kini data penerima bantuan bagi memastikan ketelusan dan ketepatan agihan.