Perkongsian seorang wanita yang mengeluh kerana sukar mendapat pekerjaan di Kelantan dengan gaji setanding kelulusannya telah mengundang perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.
Menerusi perkongsian tular yang dimuat naik di platform Threads itu, wanita terbabit mengakui sukar memperoleh peluang pekerjaan di negeri tersebut manakala tawaran diterima pula tidak berbaloi.
Wanita itu juga memaklumkan bahawa dirinya pernah ditawarkan gaji RM1,700 untuk bekerja sepenuh masa dengan cuti seminggu sekali walaupun memiliki kelulusan ijazah sarjana muda.
Namun perkara yang turut membuatkan wanita terbabit merasa kesal adalah harga barangan dijual di negeri Pantai Timur tersebut juga tidaklah begitu murah seperti digembar-gemburkan.
“Trauma sangat nak kerja di Kelantan. Peluang pekerjaan kurang. Bekerja enam hari seminggu sepenuh masa. Tetapi gaji asas RM1,700 walaupun berkelulusan ijazah sarjana muda. Majikan bahl*l.
“Barangan dekat Kelantan pula bukan murah pun. Sama sahaja dengan Kuala Lumpur. Rakyat Kelantan sepatutnya terima apabila orang kata negerinya mundur sebab kadar kebolehpasaran dan gaji itu menyakitkan hati,” kongsinya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memberi pelbagai respons terhadap keluhan wanita terbabit yang mana sebahagian besarnya menganggap situasi tersebut menyebabkan penduduk tempatan berhijrah ke negeri lain.
Ramai juga pengguna berpandangan bahawa wanita terbabit tidak sepatutnya mengeluh sebaliknya mencari alternatif lain sebagai contohnya membuka perniagaan seperti rakyat Kelantan lain untuk hidup selesa di negeri berkenaan.
“Tidak dapat dinafikan, memang mundur. Saya anak jati Kelantan memang sudah lama merantau. Sebab tak tahu boleh dapat kehidupan lebih baik kalau terus bekerja di sana. Ramai rakyat merantau dari dahulu lagi. Sebab itu masa raya, sendat Kelantan itu,” kata seorang pengguna.
“Mentaliti untuk terus hidup tahu nak makan gaji sahaja. Daripada asyik mengeluh, tiada yang selesai. Silalah pergi ke tempat sepatutnya, BUKAN KELANTAN. Di Kelantan ini, kalau nak hidup ‘sedap’ kena jadi perjuang. Berjuang tanpa mengalah.” Kongsi pengguna lain.