Isteri kepada pempengaruh, Haqiem Stopa iaitu Aireena Sofia kembali mencuri perhatian ramai apabila membuat pendedahan mengejutkan mengenai suaminya di laman media sosial, baru-baru ini.
Aireena yang juga bergelar pempengaruh itu mengakui sudah lama menyimpan perasaan sejak ditinggalkan oleh suaminya dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka iaitu Hud pada 19 Ogos lalu.
Namun pempengaruh lebih mesra dikenali sebagai Jane itu tidak mampu lagi menahan sabar apabila mengetahui bahawa Haqiem didakwa tergamak mengkhianati ikatan perkahwinan mereka dengan berlaku curang.
Lebih memburukkan keadaan, Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar dikatakan bermain kayu tiga dengan menjalinkan hubungan bersama gadis yang baru sahaja berusia 18 tahun.
Kecurangan Haqiem yang pernah diangkat sebagai ‘ikon permotoran’ itu didedahkan oleh isterinya menerusi satu perkongsian tular dimuat naik di akaun media Threads miliknya pada tengah malam semalam.
“Saya sudah tak tahan, dari pantang sampai sekarang saya simpan. Satu, persatu Allah tunjukkan. Saya kena tinggal dalam keadaan berpantang pada 19 September sehingga sekarang. Hari ini dan sekali lagi, dia curang dengan saya.
“Sekadar makluman, untuk hari ini gadis tersebut berusia 18 tahun,” kata pempengaruh berusia 21 tahun itu ketika meluahkan kekecewaannya terhadap perbuatan Haqiem di akaun Threads miliknya.
Aireena sebelum ini memilih untuk berdiam diri sewaktu ditanya pihak media mengenai status rumah tangganya dan enggan mengulas persoalan sekiranya mereka masih tinggal sebumbung ataupun sebaliknya.
Terdahulu, pasangan berkenaan sah bergelar suami isteri dalam majlis akad nikah pada 11 Oktober 2024 yang mana Haqiem menyerahkan mas kahwin sebanyak RM77,777.77 serta senaskah al-Quran kepada Aireena.
Haqiem, 25, dan Aireena kemudian dikurniakan dengan seorang cahaya mata lelaki dinamakan sebagai Hud yang kini berusia tiga bulan hasil perkongsian hidup bersama.
Baca juga: Trend anak muda mendulang emas makin rancak lepas dapat lampu hijau dari kerajaan negeri