Umum pasti tahu betapa gementarnya pelajar ketika bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun siapa sangka dalam debaran menghadapi detik penting itu, ada pula yang diuji dengan pemergian ibu bapa tercinta.
Dugaan berat ini bukan sahaja menguji kekuatan emosi, malah merentap ruang semangat pada saat mereka paling memerlukannya.
Menerusi TikTok, seorang calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim di Nibong Tebal, Pulau Pinang menerima khabar duka bapanya meninggal dunia.
Jelas terlihat dalam video tersebut pelajar, Ahmad Khairuddin disambut oleh ahli keluarga untuk memaklumkan mengenai hal tersebut.
“Keluar dari dewan peperiksaan dengan penuh harapan… namun yang menyambutnya ialah berita paling pilu.
“Perginya seorang ayah saat anaknya masih berjuang demi masa depan. Salam takziah kepada Ahmad Khairuddin (calon SPM) atas kehilangan ayah tercinta, Ustaz Md Nor bin Jusoh.
“Semoga al-Marhum ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh. Amin,” hantaran di muat naik di TikTok sekolah berkenaan.
Turut kelihatan dalam video itu, Ahmad Khairuddin hadir menunaikan solat jenazah dan setia mengiringi arwah bapanya hingga ke saat terakhir.
Pelajar tersebut juga turun ke dalam liang lahad bagi menurunkan jenazah, menyempurnakan tanggungjawab seorang anak buat kali terakhir terhadap insan yang membesarkannya.
“Jiwa yang begitu kental. Seusai pengebumian ayahnya, dia kembali ke bilik peperiksaan untuk meneruskan perjuangan. Allah,” komen dari akaun TikTok sekolah berkenaan.
Baca juga: Menggigil pakcik akhirnya dapat makan nasi panas-panas lepas empat hari banjir