Menggigil pakcik akhirnya dapat makan nasi panas-panas lepas empat hari banjir

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki warga emas akhirnya dapat menjamah nasi panas dan lauk selepas rumahnya ditenggelami air banjir selama empat hari.

Lapor laman berita VnExpress, warga emas di wilayah Dak Lak, Vietnam itu dilihat makan dalam keadaan menggigil dan basah lencun selepas didatangi sukarelawan yang membawa bantuan makanan.

“Makan dahulu, jika minum sekarang, ia boleh membuat saya tersedak,” kata lelaki berkenaan kepada anggota sukarelawan.

Walaupun terdapat banyak kotak bekalan bantuan di dalam bot, lelaki itu hanya meminta satu hidangan panas untuk dimakan segera.

Apabila air mula mencecah paras bumbung rumah pada 19 November lalu, penduduk Dak Lak bertahan dengan duduk di atas bumbung sambil menahan kesejukan dan kelaparan. 

Bekalan elektrik terputus, manakala isyarat telefon hilang.

AFP melaporkan, apabila air mula surut,  penduduk menghulurkan bakul, besen dan topi untuk mendapatkan bekalan bantuan setiap kali mendengar bunyi sampan yang membawa pasukan penyelamat.

Jumlah kematian termasuk yang hilang akibat banjir besar di Vietnam telah melebihi 100 orang selepas beberapa hari hujan lebat dan tanah runtuh.

Baca juga: Beli ‘plastik gergasi’ selamatkan kereta, individu kongsi ikhtiar terakhir sebelum banjir