Suami nekad elak konflik, minta isteri suri rumah berlakon pergi kerja depan ibu bapa

Oleh WAN SITI AMINAH

Demi mengelak berlakunya konflik di antara ibu bapa dan isterinya, seorang lelaki bernekad meminta pasangannya untuk berlakon pergi bekerja walaupun wanita terbabit bergelar suri rumah.

Perkara itu didedahkan oleh suri rumah terbabit menerusi satu perkongsian tular dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya mengenai sikap memahami suaminya dalam menjaga hubungannya dengan mentua.

Menurut wanita itu, mereka akan keluar ‘bekerja’ bersama setiap kali ibu dan bapa mentuanya berkunjung ke rumah namun suaminya menuju ke tempat kerja dan sang isteri pula diminta ke hotel mahupun pusat membeli-belah.

“Aku merupakan seorang isteri yang tidak bekerja. Tetapi Alhamdulillah, suami berikan sokongan dengan beritahu mentua yang aku ini berkerja. Jadinya setiap kali mentua datang rumah, kami akan keluar bekerja.

“Naik kereta asing-asing. Berlakon pergi kerja di hadapan mentualah. Tetapi suami akan suruh aku pergi hotel atau membeli-belah mahupun tengok wayang. Ke mana-mana sahaja, asalkan aku suka pergi.” katanya.

Difahamkan, suri rumah itu tidak perlu bekerja berikutan suaminya mampu untuk menanggungnya lebih daripada keperluan namun terpaksa berlakon di hadapan mentua atas sebab-sebab tertentu.

Sebubungan dengan itu, wanita terbabit meluahkan rasa syukurnya dalam perkongsian yang dimuat naik dengan tujuan untuk memberikan inspirasi berhubung tindakan suami dalam menjaga hubungan isteri dan ibu bapa.

“Alhamdulillah, bertuah dapat suami memahami macam ini. Jadi saya dengan mentua tiada isulah sebab ‘bekerja’ kononnya. Duit bulan-bulan, lebih dari keperluan suami berikan. Isteri tak payah bekerja,” ujarnya lagi.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna memiliki pandangan masing-masing tentang keputusan suaminya memandangkan perbuatan mereka juga melibatkan penipuan.

Namun ramai juga pengguna memahami tujuan mereka dan beranggapan bahawa mentua wanita itu mungkin memiliki pandangan tersendiri mengenai suri rumah walaupun datang dari latar belakang berkemampuan.

Baca juga: TMJ lancar matawang kripto RMJDT