Pesuruhjaya Kanak-kanak sokong langkah SKMM perkukuh keselamatan dalam talian, seru akauntabiliti bersama

Oleh KIM SYAZIE

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) menyambut baik dan menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memperuntukkan bahawa penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial disifatkan sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. 

OCC dalam kenyataannya berkata, langkah pengawalseliaan ini adalah satu perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian. 

Dalam landskap digital masa kini, tanggungjawab melindungi kanak-kanak merangkumi persekitaran dalam talian di mana kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan bersosial. 

Oleh itu OCC berpendapat, platform digital memikul tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya atau menjejaskan kesejahteraan mereka.

“Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh SKMM mengukuhkan prinsip bahawa platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab yang setara di bawah rangka kerja kawal selia negara. 

“OCC menyokong usaha SKMM untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dengan sistem kawal selia yang 

jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan 

OCC menyatakan kesediaannya untuk mengukuh kerjasama dengan SKMM, agensi kerajaan yang berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanakkanak. 

Tegas pesuruhjaya itu, melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, sebaliknya adalah kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia.

Ia juga menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan mempunyai kewajipan untuk memastikan platform mereka, dalam aspek reka bentuk dan tetapan secara automatiknya adalah selamat untuk kanak-kanak. 

Baca juga: Ini biodata Ustazah Marhamah Rosli, timbalan Menteri Agama yang baru