Walaupun berdepan pelbagai kontroversi dahulu, usahawan Datuk Seri Aliff Syukri tetap konsisten menguruskan perniagaannya.
Terbaharu syarikat miliknya, D’Herbs Holding Sdn. Bhd menjadi penyumbang zakat tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tahun 2025.
Aliff Syukri dan isteri Datin Seri Nur Shahida meluahkan rasa syukur kerana keuntungan daripada perniagaan mereka dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan lapor Astro Gempak.
“Boleh dikatakan tahun ini rezeki kami melimpah ruah dari penjualan jeruk mangga sehinggalah kami dapat pecahkan rekod jualan beg terpantas dan sebagainya.
“Ribuan terima kasih juga saya nak ucapkan kepada pembeli dan pelanggan saya sebab kalian juga adalah penyumbang sebenarnya.
“Terima kasih sebab masih lagi menyokong perniagaan kami meskipun sudah 20 tahun berniaga,” katanya seperti dipetik Gempak.
Kongsinya, dia juga adalah penerima zakat satu ketika dahulu dan kini mampu menjadi penyumbang zakat tertinggi di Selangor.
“Bila LZS bagitahu yang syarikat saya penyumbang zakat tertinggi, kita rasa bangga. Berbangga bukan sebab apa tapi sebab saya ini dulunya tak pandai sekolah dan gagal SPM.
“Dahulunya, saya penerima zakat dan hari ini pula saya penyumbang zakat tertinggi.
“Ketika kecil saya dapat bantuan zakat pelajaran seperti barang kelengkapan sekolah serta makanan. Saya juga pernah dapat basikal.
“Sebab itu saya kata jangan dipandang bahawa orang susah tak boleh berjaya. Mereka di luar sana yang susah juga berpeluang untuk berjaya,” kongsinya.
Dalam masa sama Aliff dan Shahida menyeru orang ramai yang mampu dan layak untuk memnayar zakat bagi membantu mereka yang dalam kesusahan.
Baca juga: Ajak kenang jasa Tauke Jambu, lawat kedai lempeng siap bawa kerusi dan meja baharu