Perkongsian pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro yang mengenang jasa rakan seperjuangannya iaitu Tauke Jambu berjaya menyentuh hati orang ramai terutamanya peminat mereka, baru-baru ini.
Menerusi hantaran dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu, Ajak berkongsi rakaman ketika dirinya berkunjung ke kedai milik Tauke yang juga merupakan pelawak di Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Ajak menerusi ruangan kapsyen memaklumkan bahawa kunjungan itu bukanlah hanya bertujuan untuk memberi sokongan sebaliknya sebagai tanda terima kasih atas budi yang pernah ditanam Tauke suatu ketika dahulu.
Menerusi rakaman berdurasi satu minit 49 saat tersebut, pelawak terbabit turut membawakan beberapa barangan dengan bantuan rakannya termasuklah meja dan kerusi baharu untuk diletakkan di premis berkenaan.
“Tauke Jambu, terima kasih dari hati yang paling dalam. Waktu aku masih bertatih. Belum tahu arah dan belum jadi siapa-siapa lagi, kaulah antara orang yang menghulur tangan tanpa berkira.
“Budi yang kau tanam waktu itu bukan kecil nilainya. Ia menjadi tempat aku berpaut, berteduh di waktu panas, dan menjadi payung di waktu hujan,” kata Ajak dalam rangkai kata cukup puitis itu.
Pelawak berusia 39 tahun itu juga sudah menganggap Tauke sebagai saudaranya dengan mengatakan bahawa hubungan mereka terjalin dengan budi yang tidak ternilai meskipun tidak memiliki pertalian darah.
Sekadar info, Tauke sebelum ini berhadapan dengan ujian perniagaan apabila mendedahkan bahawa enam biji meja di premis miliknya itu lesap dipercayai dicuri oleh individu yang tidak dikenalinya.
“Bukan semua saudara perlu sedarah. Kadang-kadang kita menjadi saudara kerana budi. Semoga ‘Jambu’ yang kau tanam ini akan berbuah manis satu hari nanti. Sama-sama sokong sahabat kita ini.” Ujarnya yang mengganti semula barangan hilang milik Tauke.

Baca juga: Penemuan bayi dibuang belakang rumah bongkar kes sumbang mahram adik-beradik