Filem Papa Zola The Movie menerima sambutan luar biasa penonton sehingga dalam tempoh seminggu sahaja berjaya meraih kutipan RM10 juta.
Filem berkenaan mencetuskan fenomena di media sosial susulan penceritaan yang jujur dan dekat dengan realiti kehidupan khususnya dalam kalangan penonton dewasa.
Namun dalam menghasilkan filem ini, Ketua Pegawai Eksekutif Monsta Studio, Nizam Abd Razak menceritakan perjalanan mencabar yang dilaluinya dan pasukan.
Ia bukanlah tentang jalan cerita atau aspek teknikalnya, tetapi cabaran paling besar adalah untuk menjadikan Papa Zola ketika dia muda tampan dan bergaya.
Dengan karakter Papa Zola yang buncit, misai panjang, hidung besar dan kening berombak, Nizam akui agak sukar untuk membuat lakaran masa muda yang tidak lari dari karakter Papa Zola itu sendiri.
“Bayangkan macam mana nak ambil design Papa Zola sekarang dan nak rewind semula sewaktu dia muda dan jadikan dia tampan dan bergaya!
“Dengan rambut tempurungnya, perut yang kedepan, misai panjang, hidung besar dan kening berombak…. pening kepala dibuatnya.
“Papa Zola juga tidak boleh tampan seperti tampannya watak hero tipikal. Papa Zola perlu kekalkan cirinya yang sedia ada tetapi masih boleh tampak bergaya. Dia mesti dekat dengan penontonnya. Wajahnya biasa tapi ada bisanya,” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Nizam berkata, pasukannya mengambil masa yang lama untuk mendapatkan rekaan yang sesuai.
Bukan setakat rupa tetapi jaketnya ketika muda dititikberatkan, malah pemilihan jenis motosikal juga penting untuk Operatif Zola ketika muda.
“Kami juga mencari nama gelaran yang lebih cool. Sebagai Operatif PAPA, Zola boleh diberi nama (OP)eratif(PAPA) (Zola) = Oppapa Zola!
“Saya harap sedikit perkongsian ini dapat membuatkan anda lebih mengenali Papa Zola. Ingatlah… seperti Kebenaran, kamu juga pernah tampan dan kurus!,” kongsinya lagi.
Baca juga: Aliff Syukri masih tampung belanja anak, Ammar Ahyan beli Char Kuetiau guna gaji pertama