Dah bayar RM28k, ‘ah long’ ditahan selepas paksa mangsa bayar RM60k

Oleh MALAYSIADATELINE

Kebanyakan individu yang terdesak memerlukan wang cepat memilih untuk mengambil jalan pintas dengan membuat pinjaman daripada pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Namun, apa yang nampak mudah dan cepat ini sering membawa padah, termasuk tekanan mental, tuntutan membayar berlipat ganda, serta risiko diugut atau dirampas harta, menjadikan masalah kewangan mereka bertambah parah.

Menerusi satu hantaran di Instagram Persatuan Hak Masyarakat Malaysia (@phmm.official) satu video mengenai ‘ah long’ ditahan selepas meminta peminjam membayar RM28,000 sedangkan jumlah hutang hanya RM13,000.

“Pinjam RM13,000, dipaksa bayar balik RM28,000. Ah long sudah untung RM15,000, tapi masih tidak puas hati dan menuntut sehingga RM60,000.

“Mereka sanggup merampas laptop dan emas bernilai hampir RM15,000,” kapsyen di hantaran tersebut.

Dalam perkongsian itu, turut dimaklumkan bahawa ‘ah long’ yang menindas mangsa akhirnya berjaya ditahan oleh pihak polis.

“Keadilan akhirnya berpihak kepada mangsa. Ah long tersebut berjaya ditangkap oleh pihak polis.

“Kami tidak akan melupakan jasa dan ketegasan pihak Polis Malaysia. Terima kasih kerana melindungi rakyat daripada penindasan,” ujar hantaran tersebut.

Baca juga: CEO kongsi cabaran di sebalik tabir, pasukan produksi pening nak hasilkan Papa Zola versi muda!