Islam mengajar kasih sayang, bukan kebencian antara kaum dan agama – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Islam tidak menanam kebencian, sebaliknya mengajar umatnya untuk menyebarkan kasih sayang kepada sesama manusia tanpa mengira bangsa dan agama, terhadap alam serta seluruh ciptaanNya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun merasa kecewa apabila pihak tertentu malah memilih untuk memperkotak-katikkan manusia, memecah belah dan menyemai kebencian antara satu sama lain.

Beliau juga mengingatkan bahawa perjuangan sesuatu kaum itu tidak seharusnya menafikan hak masyarakat lain sebaliknya perlu selari dengan Kerangka Malaysia Madani yang menyemai didikan menolak kebencian dan menjunjung kemanusiaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut menekankan konsep Karamah Insaniah sebagai asas penting dalam membina masyarakat saling menghormati tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

“Keindahan maksud Karamah insaniah dalam Islam itu adalah menanam, satu bukan sahaja jiwa merdeka, tetapi juga Ehsan. Nilai kemanusiaan yang ditanam, tidak pernah membawa maksud kebencian. Mahu membantu rakan dan umat, tetapi tidak perlulah membenamkan orang lain.

“Kerana yang diminta kepada kita itu, kasih kepada semua yang di bumi. Ada hadis dari Muhammad SAW yang begitu mengesankan. Di antara hadis terawal yang disebarkan, ‘Irhamu man fil-ardhi, yarhamkum man fis-sama’. Saudara bayangkan keindahannya. Kamu kasih semuanya yang di bumi, keluarga kamu, umat Islam, umat manusia, haiwan, pohon-pohon, bukit-bukau, kamu kasihlah kepada mereka.

“Jangan gondol hutan dan tanah. Jahanamkan persekitaran. Jangan tindas orang kerana lain warna kulit, fahaman mereka, kasih kepada mereka. ‘Irhamu man fil-ardhi’ – kasih kepada yang di bumi. ‘Yarhamkum man fis-sama’’ – nescaya yang di langit itu akan curahkan kasih sayang dan rahmat kepada kamu,” katanya.

Perkara tersebut dikongsikan Anwar ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Indian Muslim Transformation Framework 2030 (IMTF2030) yang mana rakaman sedutan ucapan tersebut dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga menyentuh kepentingan penjagaan alam sekitar dalam memastikan pembangunan ekonomi tidak menjejaskan persekitaran kerana dikhuatiri boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan rakyat.

“Bukan kerana dapat projek, bukan kerana dapat anugerah. Anugerah itu dari langit. Kamu kasih kepada manusia, haiwan dan perlihara bukit-bukau serta sungai. Nescaya di langit itu mencurahkan rahmat dan kasih sayang yang tentunya jauh lebih murni daripada apa yang diharapkan di dunia ini.

“Demikian mesej Islam. Tetapi bukan ini yang mestinya disebarkan. Disebarkan itu, kotak-katik antara manusia, kebencian antara satu dengan yang lain.” Kesal Anwar yang berharap agar politik kebencian tidak terus disemai sebaliknya ditolak terutama oleh golongan muda.

Baca juga: Dedah Laporan RCI TH Bolehkan Rakyat Tahu Fakta Sebenar – Mujahid