Dedah Laporan RCI TH Bolehkan Rakyat Tahu Fakta Sebenar – Mujahid

Oleh BERNAMA

Pendedahan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) membolehkan rakyat mengetahui fakta sebenar berkaitan pengurusan institusi itu, sekali gus menamatkan polemik serta pelbagai tuduhan yang berlarutan sejak beberapa tahun lepas.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata rakyat berhak menilai sendiri pengurusan TH sepanjang tempoh siasatan meliputi 2014 hingga 2020.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata beliau sendiri antara individu yang dipanggil memberi keterangan kepada panel RCI dan bersedia dinilai berdasarkan dapatan laporan itu, termasuk jika terdapat sebarang kesilapan sepanjang memegang portfolio berkenaan.

“Bagi saya telah tiba masanya RCI ini didedahkan kepada awam… kita nak tengok siapa yang betul-betul menjadi dalang yang merosakkan Tabung Haji dan siapa yang menyelamatkan Tabung Haji,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mujahid berkata pendedahan laporan itu juga penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan yang kini mempunyai kira-kira 9.2 juta pendeposit, selain memastikan sebarang penilaian dibuat berdasarkan dapatan suruhanjaya yang bebas dan profesional, bukannya dakwaan atau polemik politik.

Bagaimanapun, Mujahid berkata beliau tidak mahu membuat sebarang rumusan sebelum laporan itu didedahkan kepada umum, sebaliknya berharap hasil siasatan dapat memberikan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan TH sepanjang tempoh tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan Kabinet akan bersetuju dengan cadangan mendedahkan laporan RCI berhubung TH kepada umum setelah dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri, Rabu ini. —BERNAMA.

Baca juga: Anwar mahu rakyat tingkat kemahiran, jangan terjebak dalam politik kebencian