Pempengaruh media sosial sensasi, Isa Isarb meluahkan rasa kecewa apabila salah seorang pekerjanya didakwa menggunakan wang syarikat berjumlah RM51,000 untuk kepentingan peribadi.
Menurut Isa, segalanya terbongkar apabila pekerja yang dikenali sebagai Aiman Pt2 itu ketinggalan pesawat ke Sarawak dengan alasan mahu menghantar isterinya ke klinik kerana telinga bernanah.
Isa yang berada dalam perjalanan ke Sarawak atas urusan kerja bersama pasukannya itu kemudian mengarahkan Aiman untuk menaiki pesawat lain namun lelaki terbabit mendakwa ditahan pula oleh pihak imigresen dan polis.
Penipuan Aiman bagaimanapun terbongkar apabila isterinya menghubungi pihak Isa untuk mencari suaminya dan memaklumkan bahawa lelaki terbabit sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah.
“Saya anggap dia seperti adik dan kami sangat rapat, tak pernah terfikir akan berlaku sehinggalah minggu lepas. Dia menghilangkan diri. Saya risau dan minta pekerja lain untuk membantu mencari dia tetapi tidak jumpa.
“Mereka pergi ke balai polis dan bertanya pihak imigresen di lapangan terbang untuk mencari dia. Tetapi tetap tak ada. Tiba-tiba, isteri dia telefon dan bertanya mana Aiman. Katanya sudah tiga bulan tak balik rumah.
“Akhirnya kami jumpa Aiman dan rupa-rupanya dia tipu. Tetapi saya tak ambil apa-apa tindakan ketika itu. Saya minta pekerja belikan tiket ke Sarawak pada jam 8 pagi. Tiba-tiba dia beli tiket pergi ke Indonesia pula,” kesalnya.
Namun perkara yang menjadi isu adalah Aiman dikatakan memegang duit syarikat berjumlah RM230,000 namun tidak menyerahkan resit sebagai bukti perbelanjaan dan aliran wang kepada pihak kewangan.
Pemeriksaan lanjut juga mendapati Aiman dipercayai telah membelanjakan wang syarikat berjumlah RM51,000 untuk kegunaan peribadi termasuklah bagi membayar penginapan hotel selain turut membeli buku bil sendiri.
“Dia ambil duit untuk kegunaan peribadi. Semasa kami buat projek di Terengganu, dia beritahu ibu saudaranya tak sihat. Rupanya, dia duduk dalam hotel 17 hari dengan kawan pakai duit syarikat. Banyak ‘vendors’ dia tak bayar.
“Dia juga beli buku bil untuk menulis perbelanjaan sendiri. RM128,000 memang digunakan untuk projek, RM49,000 perbelanjaan tertunggak (tiada resit). Manakala RM51,000 dipercayai digunakan untuk kepentingan peribadi.
“Duit itu diberikan kepada ‘kawan’ Indonesia dia, keluarga, melabur dalam Forex dan banyak transaksi hotel,” kata Isa yang kecewa dengan sikap lepas tangan Aiman kerana meninggalkan barang syarikat di lapangan terbang.
Sehubungan dengan itu, Isa mengambil keputusan untuk memecat pekerjanya yang sudah tidak dapat dihubungi terbabit secara serta-merta dan bakal dihadapkan dengan tindakan undang-undang.
Baca juga: Anak muda pilih tinggal di hotel kerana sewa rumah sekarang mahal