Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN

Oleh ROSLAN ZAMAN

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, menurut sumber dari Bersatu.

Menurut Berita harian Online, perkara itu disahkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Penerangan parti, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Mereka mengesahkan Muhyiddin memaklumkan mengenai perkara itu, melalui kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, pada jam 10.30 malam tadi.

Sebelum ini, hubungan Bersatu dan PAS dilihat semakin tegang pasca perlantikan Menteri Besar Perlis dari Bersatu.

Pemimpin kanan PAS dilihat membuat kenyataan terbuka mengkritik keputusan perlantikan Menteri Besar Perlis itu.

Naib Presiden Pas, Nik Amar dalam hantarannya di saluran facebook menulis “Apakah retak menanti belah?”. Hantaran itu didakwa mengenai hubungan tegang antara parti kompenen dalam Perikatan Nasional iaitu Bersatu.

Turut memberi komentar yang sama adalah dari Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi. Ahli Parlimen Alor Star itu mengucapkan terima kasih kepada Bersatu mengenai erti sebuah persahabatan.

“Terima kasih kerana mengajar kami erti KAWAN. Akan diingati sampai bila-bila.”, tulisnya di hantaran facebook.