Seorang wanita bergelar isteri berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik hantaran tular mengenai kesan negatif apabila sering berkongsi tentang kehidupan rumah tangganya di media sosial.
Menerusi perkongsian di platform Threads, isteri terbabit mengakui segala-galanya bermula apabila dirinya selalu memuat naik hantaran berhubung layanan baik suami terhadapnya dan juga anak-anak.
Namun sang isteri tidak menyangka hantaran sedemikian turut menarik perhatian wanita lain terhadap suaminya sehingga sanggup menawarkan diri untuk menjadi madu dan demi berkongsi kasih sayang lelaki itu.
Kejadian itu memberi pengajaran bermakna malah isteri terbabit akhirnya menyedari bahawa laman sosial media sememangnya memiliki kesan secara langsung kepada kehidupan sebenar.
“Pernah ada wanita datang dekat saya dan kata dia nak bermadu. Salah satu sebabnya? Dia suka tengok hantaran tentang keluarga saya. Suka cara suami melayan saya dan anak-anak. Dia juga mahukan kehidupan seperti itu.
“Buat anaknya dan juga bakal anak-anaknya. Ketika itulah saya sedar, sosial media memang ‘berkuasa’. Orang ramai bukan sekadar melihat, mereka turut berimaginasi dan meletakkan diri dalam hidup dan tempat anda.
“Jadi untuk para wanita, jadikanlah sebagai pengajaran. Berhati-hati ketika berkongsi tentang keluarga, terutama apabila memuji suami anda. Lindungi keamanan. Bukan semua kebahagiaan perlu dikongsi,” katanya.
Dalam perkongsian sama, isteri terbabit memaklumkan bahawa situasi sedemikian turut terpakai di luar sosial media kerana orang terdekat juga boleh mempunyai keinginan serupa sekiranya kebahagiaan sering ‘ditayang’.
Baca juga: Logo Buletin TV3 disalahguna dalam hantaran palsu, SKMM jalankan siasatan