Aprena Manrose maafkan semua kecaman, ulas isu tak berhijab – “Hanya Allah boleh hukum”

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Aprena Manrose akhirnya tampil membuka suara selepas beberapa hari namanya menjadi topik perbualan hangat di media sosial susulan penularan rakaman yang memaparkan penampilannya tidak berhijab.

Menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram Story, Aprena mengakui pada mulanya enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang akan disalah tafsir ataupun tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Namun pemilik nama sebenar Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman itu memilih untuk bersuara apabila rakan artis, Nazim Othman pula yang menjadi sasaran kecaman selepas mengeluarkan kenyataan bagi pihaknya.

“Cakaplah apa pun, tidak akan pernah memuaskan hati semua orang. Cakap salah, tidak cakap pun salah. Dosa pahala adalah perkara yang sangat sensitif. Hanya Allah sahaja yang boleh menghukum. Tetapi hari ini, saya rasa nak bercakap sedikit.

“Kerana apabila dimana Nazim Othman beri kenyataan, kamu semua kecam dia pula. Janganlah macam itu. Dia tidak bersalah dalam hal ini. Saya yang punca. Iya, saya pun manusia biasa yang tak lari dari melakukan kesalahan. Saya tidak baik, saya pendosa.

“Banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki tetapi saya tak akan berhenti menuntut ilmu dan sebarkan tentang hal-hal agama walaupun belum mampu menutup aurat dengan sempurna. Nak tunggu sempurna baru nak buat kebaikan, memang sampai mati saya hanyut,” katanya.

Dalam perkongsian tersebut, Aprena menegaskan tidak akan mempertahankan kesilapannya sendiri sebaliknya memaklumi bahawa menutup aurat itu adalah tuntutan wajib untuk semua wanita yang beragama Islam.

Pelakon drama bersiri Impiana: Karma itu juga turut menyampaikan penghargaan khusus buat orang ramai yang masih memberikan kata-kata sokongan atas ujian kini dilaluinya menerusi pesanan secara terus (DM).

“Pada yang komen dalam bahasa terlalu kesat itu, siasat diri sendiri dahulu. Pastikan kamu tidak tinggal solat lima waktu. Saya maafkan kamu semua. Lillahita’alaa. Sebab saya tahu, kamu semua hanya bercakap tentang apa yang dilihat. Jadi saya tak salahkan kamu semua.

“Tak nak mendoakan tidak mengapa, jaga sahaja keluarga masing-masing. Saya juga sama, hanya perlu jaga keluarga dan orang yang sayang saya. Sama juga peminat yang masih menyokong. Hanya Allah sahaja yang balas kebaikan kalian. Terima kasih banyak-banyak.” Ujarnya.

Baca juga: Kot ye pun takkan lah sampai bergayut dalam MRT