ONSA 2025 mula dikuatkuasakan hari ini, lindung pengguna internet terutama kanak-kanak

Oleh KIM SYAZIE

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berkuatkuasa hari ini, sebagai kerangka perundangan baharu bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.

Ini termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (ΑΚΜ 1998).

ONSA tidak terpakai terhadap pengguna individu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah seksyen 46A, AKM 1998 berkuat kuasa hari ini. 

“Berikutan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA

“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian,” kata kenyataan SKMM.

Seiring dengan perkembangan ekosistem dalam talian di Malaysia, SKMM menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Maklumat lanjut mengenai ONSA boleh didapati di laman sesawang SKMM di https://www.mcmc.gov.my/ms/media/press-releases/faq-the-online-safety-act-2025-onsa.

Baca juga: Pemuda ucap terima kasih kepada PMX, duit SARA RM100 jadi punca nak putus tunang