Pemuda ucap terima kasih kepada PMX, duit SARA RM100 jadi punca nak putus tunang

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang pemuda yang berhadapan dengan konflik bersama tunangnya berpunca daripada wang bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, pemuda terbabit mengakui konflik yang dihadapi membuatkannya merasa ralat sehingga terfikir untuk memutuskan sahaja tali pertunangan meskipun sudah hampir tiga tahun menyulam cinta bersama.

Berdasarkan perkongsian tular dimuat naik di platform X, konflik di antara pasangan tunang itu bermula apabila pemuda terbabit merancang untuk menghabiskan baki bantuan SARA miliknya sebelum menjelang akhir tahun.

Namun pemuda itu tidak mahu menggunakan bantuan tersebut untuk kepentingan sendiri sebaliknya mahu bersedekah dengan membeli barangan keperluan buat balu yang merupakan isteri kepada arwah sepupunya.

Pemuda terbabit bagaimanapun tidak menyangka niat murninya untuk membantu ibu tunggal yang memiliki tujuh orang anak itu malah disalah erti oleh tunangnya sehingga memicu perasaan cemburu wanita berkenaan.

“Aku faham, mungkin sebab ibu tunggal itu masih muda lagi. Aku cakap kalau macam itu, nak beri kepada orang lain. Dia pun ajak aku pergi Eco-Shop beli barang. Ketika ini awal bulan 12. Sebab dia lama sangat dalam kedai, aku cakap nak tunggu dekat kerusi luar.

“Kalau nak bayar nanti, telefon sahaja. Selepas 45 minit, dia telefon. Tetapi dia beli benda lain, yang comel-comel itu. Sudahnya tak guna juga duit SARA. Dia telefon sebab nak suruh aku bayar barang sahaja. Masa itu aku ‘okay’ sahaja, cuma ada rasa sakit hati sedikit.

“Kemudian beberapa hari lepas, aku dapat cuti. Tiga hari. Dia minta MyKad aku sebab nak ikut kawan-kawan tebus SARA. Kami memang tahap nak kahwin, jadi aku berikan sahaja. Tiba-tiba jadi lagi, dia tak beli. Malas nak beratur,” kesalnya dalam perkongsian itu.

Memandangkan masih mempunyai waktu, pemuda itu meminta tunangnya memulangkan MyKad miliknya pada hari Isnin kerana cutinya belum selesai sekali gus mahu meluangkan masa untuk menebus sendiri SARA.

Namun tunangnya memberi pelbagai alasan dan berjanji akan memulangkan MyKad tersebut di hari Selasa apabila mereka bertemu di pejabat tetapi sayangnya pemuda itu kembali dikecewakan dengan alasan tertinggal di rumah.

“Aku nak marah sebab tak pegang MyKad, siapa tak cuak. Tetapi dia buat muka kasihan, aku tak sampai hati. Aku cakap nak pesan ‘e-hailing’ minta dia hantar juga nanti. Dia siap masakkan makanan sekali hantar guna e-hailing itu. Sekali tiada juga MyKad aku. Marah besarlah.

“Caj e-hailing bukan murah, RM19. Selepas bergaduh baru dia mengaku. Dia sengaja letak MyKad aku dalam kereta kawan. Sebabnya aku kebulur sangat nak bantu janda. Asalnya aku nak tolong isteri arwah sebab dia banyak bantu masa belajar dahulu.

“Mulanya arwah hidup senang. Tetapi jatuh muflis ketika hujung hidup. Kena tipu dengan pembekal. Tertekan dan kena sakit jantung. Aku sudah cerita sejak awal kepada tunang. Bukan aku sahaja, sepupu sepapat lain juga selalu pastikan keperluan isteri arwah cukup,” ujarnya.

Kad pengenalan miliknya itu akhirnya dipulangkan pada hari ini namun pemuda terbabit mengakui sudah mula tawar hati memikirkan masa hadapan yang bakal dilalui sekiranya masih memilih untuk hidup bersama.

Walaupun mengakui masih lagi menyayangi tunangnya, namun pemuda terbabit sudah mencapai keputusan muktamad untuk memutuskan sahaja hubungan mereka sewaktu menulis perkongsian ini.

“Aku takut nak ada masa depan dengan seseorang yang tidak memiliki budi bicara. Tiga tahun kami berkawan. Tiga tahun bercinta dan empat bulan bertunang. Tetapi putus sebab mySARA. Terima kasih PMX.” Kongsi pemuda itu lagi.

Baca juga: “Saya rela membujang” – Mia Nasir tolak suami orang, duda