ONSA 2025 langkah tepat, lindung pelajar dari pengaruh kandungan berbahaya – Guru

Oleh KIM SYAZIE

Memasuki tahun 2026, platform media sosial di Malaysia kini memasuki fasa baharu apabila mereka tidak lagi boleh beroperasi tanpa memikul tanggungjawab.

Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bermula semalam, menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan ruang siber lebih selamat, beretika dan tidak disalahgunakan.

Pelaksanaan akta baharu ini mendapat sokongan pendidik yang berpandangan ONSA wajar dilaksanakan memandangkan generasi muda hari ini membesar dengan telefon pintar di tangan, menjadikan hampir semua maklumat sama ada baik dan buruk sukar ditapis.

Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Perak, Nur Aisyah Bibi Abu Bakar berkata, dalam keadaan orang dewasa sendiri bergelut untuk mengamalkan sikap tabayun terhadap maklumat yang diterima, generasi hari ini pula lebih mudah mempercayai kandungan media sosial tanpa usul periksa.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan bagaimana golongan kanak-kanak dan remaja ini akan terdedah pula kepada kandungan lucah yang membuatkan mereka lebih tertarik dan terpengaruh.

“Generasi hari ini sudah seperti isi dengan kuku apabila dengan telefon. Semua benda di hujung jari. Sedangkn orang tua pun susah nak mngamalkan sikap tabayuun dalam sesuatu maklumat, lagikan budak yang sikapnya mudah percaya 

“Seterusnya iklan berbaur lucah merata tanpa sekatan. Secara tak langsung, sifat budak ingin tahu yang melonjak membuatkn mereka tertarik kemudian terpengaruh, akhirnya mengakses ke laman sesawang berikut. Ia akan merosakkan kesihatan mental mereka dan menjejaskan pembelajaran di sekolah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Nur Aisyah berkata, kebanyakan masalah dalam kalangan remaja adalah berpunca dari pengaruh media sosial termasuklah isu buli dalam kalangan pelajar yang membawa sampai ke sekolah.

Beliau melihat, masalah buli siber yang sepatutnya di bawah pemantauan ibu bapa akhirnya menjadi tugas guru untuk menyelesaikannya.

Atas sebab itu katanya, sebagai seorang pendidik, beliau menyokong sepenuh hati penguatkuasaan ONSA 2025 demi kesejahteraan generasi akan datang.

“Sebagai seorang pendidik, saya amatlah menyokong dengan sepenuh hati akan wujudnya ONSA 2025 kerana anak bangsa pemangkin negara, yang akan membentuk negara bertamadun,” ujarnya lagi 

Tidak hanya itu beliau juga melihat langkah kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial adalah relevan dan patut disambut baik oleh masyarakat terutama ibu bapa.

Baca juga: Ringgit meroket, pekerja Indonesia paling gembira gaji makin mahal