Isteri tiba-tiba tanya simpanan dan caruman insurans, pakat dengan kekasih bunuh suami

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita bergelar isteri bersama kekasihnya bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini berhubung cubaan membunuh suaminya ketika mangsa sedang tidur di kediaman mereka di Taman Ehsan Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, kejadian berlaku pada 22 Disember lalu di mana mangsa berusia 47 tahun dipercayai diserang oleh seorang lelaki yang dikatakan teman lelaki isterinya.

Siasatan lanjut kemudian mendapati wanita terbabit telah membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah mereka pada hari kejadian ketika mangsa sedang tidur, sebelum bertindak memegang kaki suaminya.

Tindakan tersebut diambil bagi membolehkan suspek menutup muka suaminya dengan bantal, menyebabkan mangsa mengalami kesukaran bernafas dalam cubaan membunuhnya namun gagal, lapor Berita Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan akan didengarkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini yang mana kedua-dua suspek berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah.

“Pada 22 Disember lalu, Polis Daerah Seri Alam menerima laporan berhubung kes cubaan membunuh yang berlaku di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru.

“Suspek dipercayai cuba membunuh dengan menekup muka mangsa menggunakan bantal ketika tidur sehingga menyebabkan kesukaran bernafas,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Berita Harian.

Cubaan berkenaan bagaimanapun tidak berhasil apabila mangsa berjaya melawan dan melepaskan diri dalam detik cemas tersebut manakala suspek pula segera lari daripada lokasi kejadian pada hari yang sama.

Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi memaklumkan bahawa siasatan juga mendapati isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai simpanan dan caruman insurans suaminya kira-kira seminggu sebelum kejadian.

“Berdasarkan maklumat itu, pada 23 Disember, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam berjaya menahan isteri mangsa dan teman lelakinya bagi membantu siasatan lanjut.” Ujarnya.

Baca juga: STR, MyKasih dan BUDI95 antara carian paling popular rakyat Malaysia 2025