Pemilik terpaksa jual teratak impian, kesal laman rumah jadi ‘tandas awam’ kucing jiran

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang pemilik kediaman yang meluahkan kekecewaan kerana terpaksa menjual rumah impiannya telah berjaya mencuri perhatian ramai pengguna media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, pemilik terbabit mengakui nekad menjual kediaman yang didiaminya selama 20 tahun itu meskipun sudah mengeluarkan belanja puluhan ribu ringgit untuk mengubahsuai rumah termasuk di kawasan laman.

Berdasarkan perkongsian tular dimuat naik di platform Facebook, pemilik rumah memaklumkan bahawa masalah berpunca daripada haiwan peliharaan dipercayai milik jirannya yang menjadikan laman kediamannya sebagai ‘tandas awam’.

Isu berlarutan selama lima tahun tanpa henti walaupun pemilik rumah itu sudah mencuba pelbagai kaedah bagi mengatasi masalah termasuklah memberi teguran secara bersemuka kepada jirannya namun tidak berhasil.

“Saya menulis dengan berlinangan air mata. Rumah ini adalah hasil titik peluh kami suami isteri selama dua dekad. Niat di hati nak dijadikan sebagai rumah persaraan di hari tua. Namun segala impian, pelaburan dan kasih sayang yang kami curahkan kepada rumah ini musnah sekelip mata.

“Kami sudah tidak mampu lagi menanggung ‘seksaan’ kencing dan tahi kucing jiran. Memandangkan rumah kami di unit lot penjuru, laman yang luas telah menjadi ‘tandas awam’ kucing-kucing ini. Sepanjang tempoh ini juga macam-macam usaha kami sudah buat untuk jaga ukhuwah jiran.

“Saya sudah tegur secara baik dan bersemuka dengan jiran terlibat, tetapi kecewa apabila teguran malah dibalas dengan ‘tarik muka’ sehingga sekarang. Malah pemberi makan juga melepaskan tangan dengan alasan hanya beri makan, bukan tuan kucing,” kesalnya.

Difahamkan, pemilik rumah juga sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membeli bekas najis kucing bersama pasir bagi diletakkan di luar kediaman namun haiwan itu tetap memilih untuk ‘melepaskan hajat’ di halamannya.

Mereka juga sudah pernah memindahkan sendiri haiwan berkenaan ke kawasan pasar namun sayangnya selepas beberapa hari kemudian, jirannya akan membawa lagi kucing liar baharu untuk dibela di perumahan tersebut.

“Kami juga cuba pasang pagar tambahan untuk halang kucing masuk, namun tetap gagal. Semua usaha kami sia-sia kerana punca utamanya tetap ada iaitu pemberian makanan tanpa tanggungjawab. Kami terpaksa berhabis duit membayar upah tukang cuci.

“Hampir setiap bulan perlu mencuci najis dan menyental bau hancing di laman. Kos upah dan cat sekarang bukan murah. Kalau cuci biasa, bau dan kesan tetap tak hilang. Apabila sudah sental berkali-kali, cat pula yang rosak dan luntur. Penat emosi, penat poket. Barang juga terpaksa dibuang.

“Sudah tidak terhitung berapa banyak selipar, kasut, pasu bunga, pakaian yang dijemur, karpet dan perabot laman terpaksa kami BUANG terus kerana bau najisnya sudah meresap dan tidak boleh hilang walaupun dibasuh,” kongsi pemilik rumah itu lagi.

Isu ini juga telah menimbulkan perasaan was-was pemilik rumah untuk menunaikan ibadah kerana khuatir kesan najis di luar boleh masuk ke kawasan dalam kediaman sekiranya terpijak dan terkena kaki tanpa disedari.

Sehubungan dengan itu, pemilik rumah tersebut tampil menyampaikan peringatan mengenai kewajipan menjaga hak jiran dan memelihara kebersihan sambil membuat amalan sunat memberi kucing makanan.

Dalam hantaran sama, pemilik kediaman di Taman Pulai Indah, Johor Bahru itu turut berkongsi tentang tindakan yang diambil berhubung masalah tersebut termasuklah membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa.

Baca juga: Tak mahu kain kafan biasa, Haliza Maysuri sanggup bayar RM999 untuk persiapan jenazah