Isu melibatkan Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek dan bekas suaminya, penyanyi Nubhan, masih belum menemui noktah.
Terbaharu, timbul dakwaan bahawa Nubhan telah mengeluarkan kesemua barangan milik Dr Afifah tanpa pengetahuannya ketika wanita itu sedang bercuti di luar negara,
Susulan itu, wanita berusia 35 tahun itu itu sudah membuat laporan polis terhadap bekas suaminya berhubung dakwaan mengeluatkan miliknya dari kediaman yang didiami bersama anak-anak mereka.
Menurut Berita Harian, laporan itu dibuat di Balai Polis Paroi, Seremban, semalam dan pekara berkenaan disahkan peguam syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
“Laporan polis sudah dibuat oleh anak guam saya dan kini kami menunggu tindakan lanjut pihak polis, termasuk langkah seterusnya yang akan diambil.
“Ada dakwaan kehilangan wang tunai dan barangan kemas.
“Polis akan merakam kenyataan terlebih dahulu sebelum menjalankan siasatan terperinci berkaitan butiran kehilangan tersebut,” katanya seperti dipetik BH Online.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membuat sebarang rumusan buat masa ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan mengikut prosedur.
Jelasnya, kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa, termasuk maklumat berkaitan cara barangan diambil serta dakwaan terdapat barangan yang rosak akibat pengambilan yang tidak betul.
Dalam masa sama, Akberdin memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan sivil selepas anak guamnya selesai menyemak keadaan dan jumlah barang terbabit.
“Selepas ini, saya akan mengambil tindakan sivil mengikut arahan anak guam selepas beliau membuat semakan terhadap barangan yang masih ada atau hilang,” katanya.
Akberdin turut menjelaskan bahawa tuntutan harta sepencarian antara Dr Afifah dan Nubhan telah difailkan di mahkamah dan akan melalui proses perbicaraan mengikut saluran yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak berhasrat mencetuskan sebarang ketegangan buat masa ini.
Sebaliknya mengambil pendekatan mengikut prosedur yang betul, dengan keputusan muktamad kes tersebut ditentukan oleh mahkamah.
Baca juga: Papa Zola masih di carta teratas 22 hari berturut-turut, kumpul RM50 juta