“Ini tempat parking saya” – Wanita kena ‘sound’ lepas parkir di petak kosong

Oleh MALAYSIADATELINE

Hanya kerana meletakkan kereta di petak parkir awam yang kosong, seorang wanita menerima sekeping nota daripada individu yang mendakwa ruang itu adalah miliknya.

Menerusi satu hantaran di Threads, Adila mempersoal tindakan individu terbabit meninggalkan nota pada cermin keretanya walaupun dia meletakkan kenderaan di petak parkir kosong dan membayar caj parkir seperti pengguna lain.

Menurutnya, tiada nombor petak atau tanda yang menunjukkan ruang parkir itu dikhaskan kepada mana-mana individu.

“Salah ke parking dalam kotak kosong dan tiada nombor petak? Saya pun kena bayar sewa parkir. Tiba-tiba dapat notis dibodohkan dengan alasan parkir di tempat dia,” tulisnya.

Wanita itu turut berkongsi gambar nota yang ditinggalkan pada cermin hadapan kenderaannya.

Dalam nota berkenaan, individu itu mendakwa ruang parkir tersebut merupakan tempat yang biasa digunakan olehnya dan meminta orang lain meninggalkan nombor telefon sekiranya meletakkan kenderaan di situ.

“Kalau masuk parking orang tolong tinggalkan nombor telefon. Jangan buat bodoh… ini tempat parking saya. Faham?

“Susah cari awak satu flat. Tak ada orang kenal awak. Lain kali jangan parking tempat saya,” menurut kandungan nota itu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan menegaskan bahawa parkir awam adalah untuk kegunaan semua pengguna dan tidak wujud istilah seseorang boleh menuntut hak eksklusif terhadap sesuatu petak sekiranya ia bukan milik persendirian atau dikhaskan.

“Parkir awam tetap parkir awam. Tak ada istilah ‘tempat saya’ kalau tiada hak milik atau hak eksklusif.

“Tolong jangan jadikan budaya cop parking sebagai perkara biasa. Mana yang nak buat aduan mengenai budaya cop parking di kawasan kajian ini?” katanya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya berpendapat petak parkir awam tidak boleh dituntut sebagai milik peribadi.

“Flat?? Kawasan B40 yang perasan T20 duduk kondominium ada parking sendiri,” koen pengguna Threads.

“Parking tak bayar, entitled pula buat macam parking sendiri, siapa cepat dia dapatlah,” komen pengguna lain.

“Ini punca sampai ke hari ini aku sanggup bayar mahal rumah, bayar parking setiap bulan sebab ada manusia bingai jenis cop parking,” tambah pengguna lain.

Baca juga: Usaha kepimpinan negeri Aminuddin Harun tangani masalah banjir dihargai – PM Anwar