Waspada scam! PDRM nafi hantar notis bayaran melalui WhatsApp

Oleh MAISARAH AISYA

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar berwaspada terhadap penipuan terbaharu.

Penipuan tersebut didakwa menggunakan nama PDRM dan MyBayar PDRM, kononnya berkaitan tunggakan bayaran tol atau kesalahan trafik.

Menurut PDRM, modus operandi sindiket ini melibatkan penghantaran mesej berserta pautan ke laman web yang menyerupai portal rasmi agensi berkenaan.

Mangsa kemudian diminta menekan butang ‘Pay Now‘ sebelum memasukkan maklumat peribadi dan perbankan.

Tegas PDRM, pihaknya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah menghantar sebarang notis bayaran melalui pautan rawak atau aplikasi WhatsApp.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengklik pautan mencurigakan, tidak berkongsi maklumat perbankan serta mengesahkan sebarang bayaran hanya melalui laman web rasmi atau di kaunter kerajaan.

Sebarang cubaan penipuan boleh dilaporkan kepada PDRM atau CCID Scam Response Center bagi tindakan lanjut.

Baca juga: Dikecam kerana jual beg tangan berharga RM299, MUA Bellaz tampil beri penjelasan