Pempengaruh, MUA Bellaz yang turut bergelar usahawan tampil meluahkan kekecewaan di media sosial baru-baru ini selepas menjadi sasaran kecaman orang ramai susulan melancarkan produk baharunya iaitu beg tangan.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, MUA Bellaz mengakui sedih apabila membaca kecaman berkaitan produk keluaran terbaharunya dan meminta maaf sekiranya tidak dapat memuaskan hati semua pihak.
Namun pemilik nama sebenar Nur Nabila Zulyadaini itu menegaskan bahawa dirinya tidak pernah memaksa orang ramai membeli produknya malah menyampaikan pesanan agar mereka mendahulukan keperluan dahulu.
Usahawan berusia 34 tahun itu menjelaskan bahawa beg berkenaan mulanya dilancarkan dengan harga RM220 di laman web namun berlaku masalah teknikal sehingga produk tersebut terpaksa dijual di platform TikTok.
“InsyaAllah apabila ada rezeki lebih, bolehlah beli. Tetapi janganlah hina, kata macam-macam dekat saya. Hasil usaha saya itu, bukan senang hampa nak buat benda ini. Pada yang komen baik beli beg berjenama itu, pergilah beli. Tiada siapa halang, duit masing-masing.
“Apabila baca, sangat berasa dalam hati. Tidak mengapa, pujuk hati sendiri. Beg tangan ini semalam harga asal di laman web RM220. Tetapi keadaan tidak mengizinkan untuk dilancarkan di situ. Selepas berbincang dengan penonton siaran langsung, putuskan untuk jual di TikTok.
“Sudah beritahu siap-siap, harga jadi agak ‘keras’ sedikit sebab termasuk bayaran kos dan sebagainya. Sesiapa yang ada baucar diskaun tinggi RM50 hingga RM80 boleh beli. Tetapi tak semua dapat. Harga diberi RM299. Bellaz sudah cakap, jangan beli kecuali dapat baucar,” kongsinya.
Bellaz juga tampil membuat permohonan maaf sekiranya orang ramai menganggap beg tangan itu terlalu mahal namun produk tersebut tidak dapat dijual dengan harga lebih murah memandangkan kos pengeluarannya tinggi.
Jurusolek itu bagaimanapun tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pembeli dan memaklumkan bahawa sebahagian hasil dari jualan produk akan disumbangkan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
“Beli bukan dapat beg sahaja. Hampa akan dapat beg dan kantung dekat dalam, tali panjang, gantungan kunci dan kotak eksklusif dari Bellaz. Insya-Allah, beg memang tahan lasak. Minta maaf kepada yang komen terlalu mahal semua. Tetapi nak keluarkan memang kosnya tinggi.
“Pada yang komen tak mampu beli lagi, Bellaz doakan agar satu hari nanti hampa akan dapatkan juga beg idaman masing-masing. Insya-Allah, amin. Sedihnya hati, macam-macam orang mengata sedangkan perkara ini kita sudah jelaskan satu-satu.
“Bellaz nak beritahu juga, sejumlah wang dari jualan beg tangan itu akan dikongsikan dengan kanak-kanak yang kurang berkemampuan untuk bantuan beg baju, kasut sekolah dan sebagainya.” Ujar usahawan itu dalam perkongsian tersebut.
Baca juga: Dakwa wang dan barang kemas lesap, Dr Afifah buat laporan polis