Kejadian tular di media sosial membabitkan sebuah treler melanggar tiga kereta di tepi jalan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh baru-baru ini telah mengundang perbincangan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, insiden itu telah menyebabkan kerosakan agak teruk terhadap kereta terlibat sehinggakan orang ramai berdebat tentang pihak yang patut dipersalahkan sama ada pemandu treler atau pemilik kenderaan.
Rata-rata pengguna media sosial tidak menafikan bahawa tindakan pemandu treler melanggar kenderaan itu adalah satu kesalahan namun pemilik juga tidak seharusnya memarkirkan kereta mereka terlalu lama di tepi jalan.
Perdebatan ini turut menarik perhatian seorang peguam dikenali sebagai Hasif Hasan untuk mengulas isu tersebut daripada sudut perundangan menerusi satu perkongsian tular yang dimuat naik di platform Facebook.
Menurut pengamal undang-undang itu, pihak polis perlu membuat siasatan adil berdasarkan peruntukan undang-undang undang yang ada sekiranya terdapat laporan polis daripada pihak pemilik kereta mahupun pemandu treler.
Perkara ini termasuk akta yang releven terhadap tindakan pemandu treler melanggar dan menyeret kenderaan selain akta berkaitan tindakan pemilik memakirkan kereta mereka di kawasan tidak dibenarkan.
“Menyiasat dan menuduh di mahkamah ini adalah dua perkara berbeza. Seksyen 425 Kanun Kesiksaan adalah bagi kesalahan khianat iaitu seseorang mempunyai niat untuk memyebabkan kerugian kepada seseorang dan membinasakan harta milik seseorang.
“Siasatan juga boleh dibuat mengikut 426 Kanun Kesiksaan memperuntukkan hukuman selama tempoh yang boleh sampai 5 tahun atau denda atau dengan kedua duanya. Pemandu kereta pula boleh disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Akta ini melibatkan halangan disebabkan kenderaan di jalan. Seksyen ini menyatakan kenderaan berhenti di mana mana jalan yang mungkin menyebabkan halangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna lalu lintas,” jelasnya dalam perkongsian itu.
Sekiranya disabitkan kesalahan, pemilik kenderaan yang memakir kereta itu boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan dalam tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-dua sekali.
Pemilik kereta bagaimanapun turut memiliki hak untuk menyaman pemandu lori treler berkenaan di mahkamah sivil untuk menuntut duit ganti rugi kerosakan kenderaan mereka akibat daripada kejadian tersebut.
“Selepas selesai siasatan oleh pihak berkuasa, maka kuasa untuk menuduh di mahkamah dan peruntukan undang-undang yang sesuai terletak kepada pihak pendakwaraya. Semasa pertuduhan dibaca di mahkamah tertuduh mempunyai pilihan untuk mengaku bersalah.
“Tertuduh juga boleh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. Pemilik lori treler juga mempunyai hak untuk mengetepikan, menjawab atau membatalkan saman pemilik kereta dan juga boleh membuat tuntutan balas atau ‘counter claim’,” ujarnya lagi.
Peguam terbabit memaklumkan bahawa tuntutan balas itu boleh dilakukan memandangkan tindakan pemilik kereta yang menghalang laluan treler sehingga berlaku kelewatan perjalanan atau menyebabkan kerugian.
Namun persoalan sama ada pemilik kereta atau pemandu treler layak memohon ganti rugi ataupun sebaliknya akan diputuskan pihak Majistret setelah kes dibicarakan kerana laluan itu sudah digazetkan sebagai kawasan tidak dibenarkan parkir atau berhenti.
Baca juga: Waspada scam! PDRM nafi hantar notis bayaran melalui WhatsApp