22 tahun sabar menunggu, Abby Abadi akhirnya terima mas kahwin tertangguh

Oleh MAISARAH AISYA

Pelakon Abby Abadi mendedahkan isu berkaitan mas kahwin yang tertangguh akhirnya diselesaikan selepas lebih dua dekad, sekali gus menamatkan penantian panjang yang dilaluinya dengan penuh kesabaran.

Menerusi perkongsian di media sosial, Abby menjelaskan perkara tersebut secara terperinci bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

“Tak faham tanya ok, baca perlahan-lahan. Setelah 22 tahun, duit mas kahwin selesai. Alhamdulillah dan nasib umur panjang,” tulisnya.

Abby memaklumkan perkara itu selesai dengan baik bersama bekas suami, Norman Hakim dan menyifatkannya sebagai rezeki hasil kesabaran panjang yang dipendam selama ini.

Dalam perkongsian tersebut, Abby turut berterima kasih kepada suaminya, Muhammad Faizal Zakaria serta pelakon Memey Suhaiza kerana tidak pernah mencampuri urusan berkenaan.

“Dengan tenangnya, saya kongsilah serba sedikit biar semua tahu yang ini (isu mas kahwin) sudah selesai selepas 22 tahun.

“Terima kasih kepada Memey dan suami kerana tak pernah campur urusan-urusan yang tertangguh ini.

“Bukan nak kongsi sangat pun, cuma nak maklum berkat kesabaran selama 22 tahun, rezeki saya tetap rezeki saya. Alhamdulillah.

Abby turut mendedahkan pernah terfikir untuk menggunakan khidmat peguam selepas perceraian, namun membatalkan hasrat itu atas faktor kewangan ketika itu.

Hubungannya dengan bekas suami dan isteri bekas suami pula disifatkan baik, malah mereka pernah keluar dan bercuti bersama.

Bagaimanapun, apabila anak-anak semakin membesar dan taraf hidup bekas suami dilihat semakin stabil, Abby merasakan sudah tiba masanya untuk bersuara demi masa depan anak-anaknya.

“Kami baik saja, dari mereka dapat anak pertama lagi. Kadang saya belanja, kadang Memey, kadang Norman. Gitulah ceritanya.

“Untuk dia tak melupakan anak-anak yang dengan saya, saya pun bersuaralah sebab dia macam tak nampak. Kali ni saya rasa berdiam langsung tak membantu apa-apa,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Abby berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berlebihan atau menganggap dia sengaja membuka cerita lama.

“Cerita saya dan Norman memang takkan habis sebab kami ada anak-anak. Saya cuma nak dapatkan hak sepatutnya untuk masa depan anak-anak dan biar mereka ada simpanan,” jelasnya.

Abby turut menzahirkan penghargaan kepada bekas suaminya, Norman, yang disifatkan sudi melunaskan perkara tertunggak itu apabila sudah berkemampuan.

Baca juga: Bekas CEO Darsa Fried Chicken jawab dakwaan restoran tutup sebab isu perkauman