Pempengaruh media sosial, Khairul Aming sekali lagi menjadi perhatian semalam selepas Restoran Rembayung yang diusahakan secara rasminya membuka tempahan kepada orang ramai.
Namun proses tempahan di laman web pihak ketiga yang diupah oleh pempengaruh itu nampaknya ‘gagal’ memainkan peranan akibat trafik pelawat yang terlalu tinggi semalam.
Di live tiktok semalam, acapkali dilihat KhairulAming mengeluh sambil menyebut nama ‘UMAI’ yang berperang dengan masalah pelawat yang terlalu tinggi.
“Kita sudah selesai proses tempahan pertama untuk Rembayung. Saya minta maaf kerana laman web ‘crashed’ (sistem rosak) tadi. Memang ramai yang maki hamun dan saya pun ‘speechless'(hilang kata-kata).
“Kita sudah buat persiapan tetapi malangnya, trafik terlalu tinggi. Ada 3,000 pelanggan berjaya ‘booked’ mulai lusa (esok) dan beberapa hari seterusnya.
“Saya tidak tahu hendak ‘respond’ apa… Saya minta maaf kerana saya tidak tidur malam. Pagi tadi (semalam) baru dua jam tidur.
“Kepada yang marah saya dan pasukan, saya mohon maaf sekali lagi. Izinkan kami tangani semua isu dan cuba beri proses yang lebih lancar untuk tempahan seterusnya,” katanya melalui hantaran Threads, malam tadi.
Sementara itu rata-rata netizen kelihatan marah dengan pengendali tempahan rembayung iaitu UMAi yang dilihat tidak bersedia menerima tempahan yang tinggi.