Pihak polis melancarkan siasatan dalaman secara serta-merta berhubung dakwaan peras ugut keluarga seorang suspek dadah melibatkan wang berjumlah RM6,000 pada 30 Disember lalu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mereka yang terlibat dalam siasatan dalaman berkenaan adalah seorang pegawai dan beberapa anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Siasatan tersebut difahamkan dijalankan secara serta-merta pada hari kejadian membabitkan kesemua mereka yang dikaitkan dengan kes itu susulan menerima laporan daripada mangsa, lapor Berita Harian.
Mohd Yusoff memaklumkan bahawa setakat ini, siasatan berhubung dakwaan tersebut masih dijalankan pihaknya dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang didapati terbabit dalam kejadian itu.
“Siasatan dalaman bermula pada hari kejadian, susulan dakwaan bahawa pegawai dan anggota meminta wang serta mengugut ibu suspek supaya menyerahkan bayaran,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Dalam pada itu, sumber yang tidak dinamakan menyatakan bahawa mangsa mendakwa anak lelakinya telah ditahan oleh beberapa anggota polis di Bachok kerana disyaki memiliki dadah pada hari kejadian.
Pihak berkuasa itu dikatakan meminta wang RM6,000 dari ibu suspek dan mengugut bahawa anaknya akan dimasukkan ke lokap serta dituduh di mahkamah pada keesokan harinya jika duit tidak dibayar sebelum tengah malam.
Ibu suspek yang berasal dari Terengganu itu kemudian meminta bantuan daripada seorang rakan sebelum tampil membuat laporan polis sekali gus memicu siasatan dalaman berhubung kejadian tersebut.
Baca juga: Sumbangan SARA masuk seawal 9 Januari, RM100 one-off untuk semua rakyat dewasa 9 Februari