Gambar memaparkan pertemuan antara bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Walaupun baru beberapa jam dimuat naik, gambar yang dikongsikan oleh Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi akaun Facebook miliknya itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi.
Antara spekulasi yang timbul dengan penularan gambar berkapsyenkan, ‘Alhamdulillah, Insya-Allah’ itu adalah dakwaan mengaitkan Ahmad Samsuri sebagai antara calon tersenarai untuk memegang jawatan Pengerusi PN.
Dalam pada itu, Mohd Syahir yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok mengesahkan bahawa pertemuan tersebut dibuat atas mandat diberikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, lapor Berita Harian.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan mahupun menafikan bahawa pertemuan itu berkait dengan spekulasi Ahmad Samsuri dicalonkan untuk menggantikan Muhyiddin bagi jawatan Pengerusi PN.
“Ya, Dr Sam (Samsuri) bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin atas mandat daripada Tuan Guru Presiden. Itu ‘casual meeting’ (mesyuarat biasa) memandangkan Tan Sri Muhyiddin baru pulang dari luar negara,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Menurut Mohd Syahir, mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat namun tidak menyatakan maklumat terperinci mengenainya terutama berhubung perlantikan pengerusi baharu.
Terdahulu, Abdul Hadi selaku pengerusi Pas tidak menyangkal bahawa parti tersebut akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan berkenaan berkuat kuasa pada Khamis lalu.
Abdul Hadi merangkap Ahli Parlimen Marang itu memaklumkan bahawa mesyuarat mengenai pencalonan Pengerusi PN baharu yang turut dihadiri oleh pemimpin Bersatu tersebut dijangka akan diadakan tidak lama lagi.
Selain Ahmad Samsuri, nama lain yang disebutkan bakal mengetuai PN adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainnuddin.
Baca juga: Kutipan parkir RM3 kerja haram, ulat parkir Pantai Klebang ‘lesap’ selepas tular