Mahkamah Majistret Putrajaya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap pelawak, Shuib Sepahtu atas kesalahan mempromosikan produk rokok elektronik (vape) di saluran podcast miliknya pada dua tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas Shuib yang juga merupakan usahawan itu membuat pengakuan bersalah sebagai penerbit program Dol’s Podcast atas kesalahan tersebut.
Mahkamah turut mengarahkan agar Shuib ataupun nama sebenarnya, Shahmira Muhammad itu dijatuhkan dengan hukuman penjara selama setahun sekiranya gagal melunaskan bayaran denda dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pindaan, pelawak berusia 41 tahun itu didakwa telah mempromosikan produk merokok iaitu Soundvape di Dol’s Podcast yang disiarkan secara atas talian melalui saluran Youtube, lapor Berita Harian.
Siaran tersebut kemudian dibaca di Aras 3 Blok F1 Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya pada sekitar jam 4.26 petang, 22 Oktober 2024.
Atas kesalahan itu, Shuib didakwa mengikut Seksyen 9 (3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (3)(a)(i) akta sama.
Sekiranya disabitkan kesalahan, pelawak berkenaan boleh dijatuhkan dengan hukuman denda maksimum sebanyak RM20,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-keduanya sekali.
Terdahulu Pegawai Pendakwa KKM, Kua Ah Kiong dalam prosiding mahkamah memohon agar hukuman setimpal dikenakan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi Shuib yang jelas melanggar Akta 852.
Menurut Kua Ah Kiong, tertuduh juga adalah pelawak terkenal dan tindakannya mempromosikan produk itu dikhuatiri boleh menjadi ikutan serta mempengaruhi orang ramai terutama pengikutnya.
Namun peguam yang mewakili Shuib, Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri memohon hukuman denda paling minimum memandangkan anak guamnya sudah mengeluarkan siaran promosi tersebut daripada Youtube.
Ahmad I’zzudin juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu sudah menyedari kesalahan tersebut dan sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Syarikat Bangsawan Distribution Sdn Bhd, Mohd Redzuan Hamizan Rahim selaku pemilik Soundvape turut mengaku bersalah di mahkamah sama atas kesalahan menaja promosi produk tembakau tersebut di Dol’s Podcast.
Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama pada masa dan tarikh yang sama di mana mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM10,000 atau penjara setahun sekiranya gagal membuat bayaran.
Baca juga: Individu persoal Cik B tak labur jurulatih peribadi walaupun kaya? Ini respon tuan badan