“Bukan duit yang dia nak, tapi anak di sisi” – Nelysa Norazlan kesal tak luang masa dengan arwah bapa

Oleh MALAYSIADATELINE

Apabila anak-anak semakin dewasa, ramai yang cuba sedaya upaya membalas jasa ibu bapa dengan kemewahan dan pemberian harta.

Namun terlupa bahawa apa yang lebih didambakan oleh ibu bapa sebenarnya adalah kehadiran anak di depan mata, masa, perhatian dan kasih sayang yang tidak mampu diganti dengan wang ringgit semata-mata.

Pempengaruh media sosial, Nelysa Norazlan berkongsi luahan peribadi mengenai penyesalan tidak meluangkan masa secukupnya bersama arwah bapanya ketika hayat masih ada.

Menerusi satu hantaran di Threads, Nelysa menasihatkan orang ramai yang masih mempunyai ibu bapa agar menghargai masa bersama mereka dan tidak terlalu sibuk mengejar urusan kerja semata-mata.

Menurutnya, dia mengakui pernah lebih mengutamakan pekerjaan sehingga terlepas peluang untuk bersama bapanya.

“Korang yang ada mak bapa lagi tu, luangkan masa lebih dengan mereka. Aku menyesal tak luangkan masa dengan bapa aku dulu.

“Terakhir kali aku bagi duit untuk dia bercuti, aku suruh sepupu aku bawakkan sebab aku sibuk kerja,” kongsinya di Threads.

Luah Nelysa, ketika itu dia menyangka pemberian wang sudah memadai, namun hakikatnya apa yang benar-benar diinginkan oleh bapanya adalah kehadiran dan masa bersama anak di sisi.

“Bukan duit aku yang dia nak, tapi keberadaan anak dia di sisi. Aku terlambat untuk sedar sekarang abah pun dah tak ada,” jelasnya.

Kehilangan tersebut memberi kesan mendalam terhadap cara hidupnya, sekali gus mengubah keutamaan yang sebelum ini terlalu tertumpu kepada kerjaya.

Tambahnya, jika dahulu dia sanggup bekerja tanpa henti, kini dia memilih untuk menjalani kehidupan lebih seimbang dengan menggabungkan kerja dan masa untuk berehat.

“Sebab tu sekarang aku tak kejar banyak benda sangat. Dulu kalau tak kerja bagai nak rak. Sekarang baru kerja dan bersantai,” tambahnya.

Baca juga: Shuib didenda RM10,000, mengaku bersalah promosi vape dalam program podcast