Seorang wanita tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina dengan pegawai Tentera Darat berpangkat Kapten hanya bertahan selama 18 bulan sebelum segala-galanya hancur didakwa akibat budaya parti ‘yeye’.
Itulah pendedahan seorang bekas isteri pegawai tentera berhubung tabiat pesta liar dalam kalangan pihak atasan institusi pertahanan negara susulan isu tersebut hangat diperkatakan di platform media sosial baru-baru ini.
Memetik laporan Malaysia Kini, guru berusia 37 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Zhane itu mengakui berkenalan dengan bekas suaminya ketika mereka masih belajar sebelum mendirikan rumah tangga pada 2012.
Wanita itu sudah mula mencurigai aktiviti suaminya sejak di peringkat awal perkahwinan mereka lagi namun tetap mengambil keputusan untuk memberi peluang selain enggan memalukan pegawai tersebut.
Keadaan rumah tangga mereka bagaimanapun menjadi lebih teruk apabila sang isteri menemukan telefon bimbit yang didakwa disembunyikan di dalam beg galas pegawai tersebut dan memutuskan untuk memeriksa peranti itu.
Alangkah terkejutnya Zhane yang ketika itu sedang hamil apabila menemukan pertukaran mesej perbualan intim dalam telefon bimbit berkenaan melibatkan suami tersayang dengan wanita lain.
“Saya ambil nombor itu dan kenalkan diri, cakap baik-baik jangan berhubung lagi dengan suami. Rupanya dia jadi lebih galak masuk mess (dewan makan) setiap kali nak melepak sama,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.
Zhane kemudian menjalankan siasatan dan berdasarkan maklumat dikongsikan jiran-jiran di kompleks perumahan tentera, suaminya terlibat dengan sekitar tiga ‘gadis yeye’ dalam pesta diadakan dalam pangkalan tentera di Johor.
Parti-parti tersebut didakwa berlaku dalam pengetahuan pegawai atasan kem yang dikatakan mengawasi aktiviti sedemikian malah laporan dilakukan Zhane ke peringkat tertinggi melalui saluran betul juga menemui jalan buntu.
“Dari situ saya selidik dan jumpa bukti hal-hal berkaitan kegiatan tak bermoral. Lama juga saya siasat hal keluar masuk aktiviti tak bermoral dalam kem ini. Sebab saya sebagai isteri cuba nak membetulkan diri juga.
“Usaha nak memperbaiki keadaan. Tetapi rupanya lebih banyak yang saya jumpa termasuk posting-posting jelik perempuan yeye yang sudah tahu saya ini isteri, duduk lagi dalam kem.
“Dia pula ada kebebasan keluar masuk mess pegawai. Siapa yang beri kebenaran? Kem kan kawasan larangan orang awam,” kesal wanita itu dalam pendedahan dibuat berhubung kegiatan tidak bermoral tersebut.
Sang isteri kemudian bersemuka dengan suaminya dan seorang gadis yang didakwa terlibat di dalam ‘parti yeye’ sehingga kedua-dua wanita itu bergaduh di dataran perbarisan kem sebelum membawa kepada perceraian.
Zhane yang kini sudah berkahwin semula menyifatkan bahawa pendedahan di media sosial mengenai budaya ‘parti yeye’ sebagai rahmat tersembunyi buat isteri dan keluarga yang sudah menderita akibat ketidakadilan.
Wanita itu juga berharap agar pihak Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan dapat menghapuskan amalan ‘parti yeye’ yang dianggap sebagai budaya sampah itu buat selama-lamanya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu turut menegaskan bahawasanya bukan semua pegawai tentera terlibat di dalam aktiviti tidak bermoral sedemikian malah ada yang mengelak meskipun mengadapi tekanan.
“Sebenarnya atas kepimpinan CO (pegawai memerintah) batalion itu sendiri. Kalau dapat bos dan pengerusi yang berhemah, cakna kebajikan keluarga orang bawahan memang sudah cukup besar rahmat.
“Semuanya terpulang kepada kepimpinan Komander Batalion. Jika anda mendapat bos yang baik dan mengambil berat tentang kebajikan pegawainya dan keluarga mereka, ia adalah satu rahmat.
“Kagat (Kor Agama Angkatan Tentera) sendiri tak diperkasakan sebagai jabatan yang boleh membendung isu budaya ni berlanjutan.” Ujarnya yang menggesa Angkatan Tentera menyokong kebajikan keluarga petugas termasuk selepas perceraian.